1/29/2019

Teleskop Biasan

Teleskop Biasan


Teleskop yang paling awal digunakan ialah teleskop biasan. Teleskop biasan ialah teleskop yang menggunakan kanta untuk mengumpul dan memfokuskan imej sesebuah objek. Teleskop jenis ini ialah yang paling popular dalam kalangan masyarakat. Galileo Galilei menggunakan teleskop biasan ketika melakukan kajian yang menggempar dunia ketika itu. Kebanyakan ahli astronomi amatur menggunakan teleskop jenis ini untuk mengambil gambar-gambar nebula dan galaksi.


Kebanyakan teleskop biasan menggunakan dua kanta utama untuk menghasilkan imej yang besar dan jelas. Kanta yang lebih besar dikenali sebagai kanta objektif manakala kanta yang kecil pula dipanggil sebagai kanta mata. Kebanyakan balai cerap era abad ke-19 dan 20 menggunakan teleskop biasan. Teleskop ini sangat panjang dan ditempatkan di atas platform yang stabil.

Bergantung kepada pembekal, teleskop biasan mempunyai kanta objektif yang berdiameter sekitar 3 ke 8 inci. Saiz ini dikira agak kecil jika dibandingkan dengan teleskop jenis pantulan dan katadioptrik. Ini kerana kosnya meningkat mendadak dengan diameter kanta.

Teleskop biasan mempunyai banyak kelebihan tersendiri. Ia tidak memerlukan pengkolimatan seperti teleskop pantulan. Ini kerana kantanya lebih tahan lasak berbanding cermin pada teleskop pantulan. Oleh sebab tiub di dalam teleskop ini ditutup oleh kanta, ia tidak terlalu terkesan dengan perubahan suhu persekitaran.
Teleskop biasan mempunyai satu masalah optik yang agak besar iaitu aberasi berkroma. Ia menghasilkan lapisan seperti pelangi pada luaran imej yang dirakam. Kesan ini dapat dikurangkan dengan menggunakan kanta tambahan pada kanta objektif.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan