Sejarah Astronomi
Astronomi
merupakan bidang sains tertua bagi umat manusia. Datuk nenek moyang kita dahulu
melihat ke langit dan memikirkan berkenaan rahsia-rahsia alam semesta. Pelbagai
tinggalan lama yang menunjukkan usaha-usaha umat manusia untuk meneroka misteri
di angkasa seperti monumen Stonehenge di England, struktur dan tulisan oleh
tamadun Maya dan Aztec serta tinggalan tamadun China dan India. Namun, kajian saintifik dalam astronomi dimulakan
oleh tamadun Greek purba. Antara kajian yang dilaksanakan ialah geometri alam
semesta oleh Pythagoras (550 BC). Sarjana-sarjana Greek kemudiannya menggunakan
ilmu geometri dan matematik bagi mengkaji alam semesta untuk ratusan tahun
seterusnya. Kaedah ini diteruskan sehingga kini apabila astronomi moden
bergantung kepada model-model matematik bagi menerangkan fenomena-fenomena alam
semesta.
Sarjana-sarjana Greek |
Model Alam Semesta Aristotle |
Alam Geosentrik
Bagi memahami
alam semesta ini secara sistematik, Plato (350 B.C.) mengusulkan model geosentrik
alam semesta. Berdasarkan pemerhatian, objek-objek dilangit kelihatan bergerak
mengelilingi bumi yang pegun. Pergerakan ini kelihatan seragam dalam orbit
masing-masing.
Gerakan Songsang
Walaupun model geosentrik
kelihatan seolah-olah simetri dengan orbit berbentuk bulat mengelilingi bumi,
ia mempunyai beberapa masalah yang sukar diselesaikan. Planet-planet kadangkala
bergerak secara songsang untuk beberapa ketika dan kemudian kembali orbit seperti
biasa. Pada awalnya, para sarjana seperti Hipparchus (150 B.C.) memperkenalkan
orbit bulatan tambahan yang dikenali sebagai epikitar. Penambahbaikan ini
berjaya mengekalkan simetri dalam model alam semesta serta menerangkan
perbezaan kecerahan ketika planet bergerak songsang. Beberapa ratus tahun
kemudian, model Hipparchus ini semakin goyah dengan data-data pemerhatian yang
baharu.
Ptolemy (100 A.D.) menyelamatkan model geosentrik ini dengan menambahbaik sistem epikitar melalui ekuan. Model ini diterima pakai untuk lebih seribu tahun kemudiannya. Apabila model bercanggah dengan pemerhatian, maka penambahbaikan dilakukan keatas model tersebut. Proses ini akan menjadikan model tersebut semakin kompleks.
Ptolemy (100 A.D.) menyelamatkan model geosentrik ini dengan menambahbaik sistem epikitar melalui ekuan. Model ini diterima pakai untuk lebih seribu tahun kemudiannya. Apabila model bercanggah dengan pemerhatian, maka penambahbaikan dilakukan keatas model tersebut. Proses ini akan menjadikan model tersebut semakin kompleks.
Revolusi Copernicus
Pada kurun ke-16,
model Ptolemy semakin kompleks. Nicolaus Copernicus (1473-1543) dari Poland
cuba untuk mengembalikan model kompleks ini kepada suatu model yang lebih
mudah. Beliau memperkenalkan model heliosentik
alam semesta. Model ini menjadikan matahari sebagai pusat alam semesta dan
kesemua objek termasuk bumi mengelilingi matahari. Namun model ini menerima
tentangan hebat dari Gereja Katolik yang menerima pakai model geosentrik.
Copernicus kemudiannya mengelakkan diri daripada konflik ini dengan
menangguhkan penerbitan model ini sehinggalah pada penghujung usia beliau.
Galileo Galilei: Bapa Astronomi
Galileo Galilei
(1564-1642) merupakan manusia pertama yang menggunakan teleskop untuk melihat
ke angkasa. Kaedah pemerhatian ini mengembangkan ilmu astronomi secara mendadak
dengan penemuan bulan-bulan Musytari, fasa planet zuhrah dan tompok hitam pada
matahari. Penemuan Galileo ini menguatkan lagi model heliosentrik dan
menyebabkan berlakunya konflik antara pihak gereja dan Galileo.
Hukum Kepler
Pada masa yang
sama, seorang ahli astronomi dari German iaitu Johannes Kepler (1570-1630) mengutarakan
hukum-hukum Kepler. Melalui data-data yang beliau perolehi daripada Tycho
Brahe(1546-1601), beliau menemukan 3 Hukum pergerakan planet yang dinamakan
sempena nama beliau. Hukum-hukum Kepler ini juga menggunakan model Heliosentrik
yang ditambahbaik.
Astronomi Moden
Model-model yang
disebutkan sebelum ini kesemuanya bersifat empirikal . Pada akhir kurun ke-17,
Isaac Newton (1642-1726) menggunakan konsep matematik yang mendalam bagi
menerangkan fenomena di langit. Konsep ini dapat menyelesaikan pelbagai masalah
seperti liukan ekuinoks, fenomena pasang surut serta membuktikan hukum
Kepler melalui teori yang kukuh.
Perkembangan
teori dan teknologi yang pesat berjaya membentuk model alam semesta yang lebih
kukuh. Pada awal kurun ke-20, teori-teori fizik mengalami revolusi kuantum dan kerelatifan. Melalui kedua-dua teori ini, alam semesta dapat
difahami secara mendalam serta dapat meramalkan peristiwa-peristiwa akan
datang. Pada masa yang sama, teleskop-teleskop juga semakin canggih sehingga
dapat melihat objek-objek yang jauh dan malap seperti galaksi. Pemerhatian
berserta teori bergerak seiring bagi umat manusia meneroka rahsia-rahsia yang
tersimpan di alam semesta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan