2/16/2020

Pengalaman Belajar Fizik Tulen di USM

Pengalaman Belajar Fizik Tulen di USM

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua pembaca. Bagi artikel ini, saya akan berkongsi tentang pengalaman saya belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang fizik tulen. InsyaAllah saya akan tamatkan pengajian ini pada bulan Ogos 2020.


Jom Belajar di USM


Sebaik sahaja mendapat keputusan cemerlang bagi SPM, saya terus melanjutkan pelajaran dalam kursus A-Level di INTI College Pulau Pinang. Pada awalnya, saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara selepas A-Level. Namun atas kekangan biasiswa (KPM Lepasan Bursary 2016), saya hanya dapat memilih universiti-universiti di dalam negara sahaja.


Universiti Sains Malaysia


Jadi, apabila UPU dibuka, saya memilih kursus Fizik Tulen di USM sebagai pilihan utama. Sejak SPM lagi, saya memang sangat berminat dengan bidang fizik ini. Malah saya juga memohon bidang fizik, astrofizik dan fizik teori di universiti-universiti di United Kingdom (UK) melalui UCAS. Alhamdulillah saya berjaya mendapat tawaran pilihan pertama iaitu ijazah sarjana muda fizik tulen di USM dengan tajaan penuh JPA iaitu program Lepasan Bursary 2016. Untuk makluman, terdapat 4 kursus fizik lain di USM iaitu fizik kejuruteraan, fizik gunaan, fizik perubatan dan geofizik.

1. Mengapa saya memilih USM?

Sebab utama saya memilih USM ialah kerana USM merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan pakej minor astronomi. UM, UKM dan universiti lain hanya menawarkan subjek ini sebagai elektif. Selain itu, USM juga merupakan antara 5 universiti penyelidikan di Malaysia dan satu-satunya universiti APEX di Malaysia. Selain faktor-faktor di atas, USM menjadi pilihan utama saya kerana USM sudah sebati dengan kehidupan saya. Saya dibesarkan di Pulau Pinang, dan boleh dikatakan lebih 90 peratus hidup saya adalah membesar di USM kerana ibu bapa saya yang bekerja di sini. Dari nursery (Hadhanah USM), kemudian tadika Islam USM dan KAFA USM. Segala selok-belok USM telah saya ketahui, segala kemudahan saya pernah guna.😆

2. Pengalaman minggu awal.

Pelajar tahun pertama akan masuk lebih awal ke USM bagi sesi orientasi. Para pelajar akan dapat desasiswa masing-masing (sini panggil desasiswa, bukan asrama atau kolej). Waktu orientasi tu agak bosan dan mengecewakan. Kami perlu berlatih bersorak bagai yang entah apa fungsinya. Dan segala bersorak inilah yang memenuhi minggu orientasi dari awal sampailah sudah. Selain bersorak ni, kami dibawa melawat ke Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) iaitu dewan untuk orientasi pelajar baru, konvokesyen dan program-program besar. Di sini, ada beberapa sesi pengenalan oleh pegawai-pegawai universiti, termasuklah timbalan naib canselor. Kemudian ada sesi angkat sumpah sebagai pelajar, dan nyanyi lagu USM. Sebenarnya minggu orientasi ini agak kurang sikit sebab para pelajar tak dibawa mengenali USM. Cadangan saya kepada junior yang bakal menjadi PPSL, buatlah lawatan ke muzium, kolam renang, bahagian arkeologi, padang A,B dan C, perpustakaan-perpustakaan yang ada. Malah ada pelajar tahun akhir yang tak tahu kewujudan Muzium USM sebab kedudukannya yang agak jauh dari laluan bas. Daripada bazir tenaga bersorak sampai 2 pagi yang tak ada faedah, baik gunakan tenaga tu untuk berpenat melawat kawasan USM. Alhamdulillah sekarang ni dengarnya sudah tak ada sorakan-sorakan ni. Harapnya minggu orientasi ini dimanfaatkan dengan lebih baik. 

Minggu orientasi. Yang ini di DTSP
Pagi-pagi lagi ada program. Ini di desasiswa Tekun.
1.58 pagi buat orientasi lagi. Betul-betul takda faedah
Waktu nak angkat sumpah sebagai pelajar. Senat-senat universiti akan turut serta

Selepas minggu orientasi, pelajar-pelajar fizik ni berorientasi pula dengan pensyarah-pensyarah fizik. Waktu inilah nak kenal muka-muka pensyarah yang kita akan kenal selama 4 tahun lagi. Yang bestnya fizik ni, setiap kali ada program untuk pelajar, selalu dapat makan minum free. Untuk pelajar fizik tulen pula, akan ada satu sesi khas iaitu ujian matematik. Ujian ini tak perlu kalkulator pun, sekadar pensil dan pen. Ujian ini bagi menentukan kadar penguasaan para pelajar fizik tulen tahun pertama mengenai matematik fizik. Waktu saya dulu, ujian ni banyak fokus pada soalan kalkulus seperti pembezaan (differentiation), kamiran (integration) dan trigonometri. Soalan ujian ni tak ada pengiraan, jadi tak perlu kalkulator. Semua soalan ni lebih kepada menyelesaikan persamaan, mencari terbitan (derivative) dan menyelesaikan pengamiran bahagian demi bahagian (integration by parts). Tak ada soalan statistik, kebarangkalian (probability) dan yang sewaktu dengannya. Jika kebanyakan dari kalangan anda skor ujian ini, berkemungkinan subjek Kalkulus nanti akan lebih tinggi (mungkin).

Kemudian pada minggu ke 3, akan ada lagi program wajib selama 2 hari 1 malam. Tak ingat nama program ni (siswa lestari kot), tapi program ni agak bermanfaat sebab pelajar perlu berfikir dan berinteraksi dengan lebih banyak dalam kumpulan. Akan dapat juga baju t-shirt USM dalam program ni.


BHEPA ni akan memantau persatuan dan kelab di USM
Dalam minggu-minggu awal ni juga, akan ada pendaftaran bagi persatuan-persatuan dan kelab-kelab di USM. Ada lebih 100 persatuan dan kelab di USM ni. Sebaiknya masuklah persatuan/kelab yang anda minat. Bagi pelajar fizik pula, anda akan secara automatik menjadi ahli persatuan sains fizik (PSF). Ada kelab anak negeri, kelab-kelab sukan, persatuan akademik lain dan sebagainya. Persatuan dan kelab ini akan terlibat dalam melaksanakan aktiviti yang berMyCSD. MyCSD ini ialah mata yang biasanya diburu oleh pelajar-pelajar untuk dapatkan desasiswa bagi tahun-tahun berikutnya. Untuk makluman, desasiswa hanya dijamin pada tahun pertama sahaja. Bagi tahun berikutnya, anda perlu aktif dalam aktiviti persatuan dan skor dalam peperiksaan. Ada beberapa kriteria bagi pemilihan desasiswa ini. 

Suasana Kampus Induk USM

Kampus USM ni terbahagi kepada 3 iaitu Kampus induk di Sungai Dua Pulau Pinang, Kampus kejuruteraan di Nibong Tebal, Pulau Pinang dan Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan. Terdapat beberapa lagi tempat lain selain 3 kampus ini seperti di USM-KLE, India. Kursus Fizik dijalankan di Kampus Induk. 

Kampus Induk USM ni ada banyak kemudahan, suasananya juga indah, topografinya agak berbukit bukau. Antara kemudahan yang ada ialah:

1. Masjid USM
2. Kompleks Sukan 
3. Gym
4. Kolam Renang
5. Kafe Desasiswa (ada lebih 10 kafe di dalam USM)
6. Muzium USM
7. Klinik USM/Pusat Sejahtera USM (termasuk dalam yuran)
8. Klinik Pergigian (dah termasuk dalam yuran)
9. Bank CIMB, Maybank dan banyak lagi

Pemandangan USM dari Drone
Kampus Induk USM dan Sungai Dua
Pemandangan Jambatan Pulau Pinang boleh dilihat dengan indah pada waktu pagi dari USM

Masjid USM
Kampus Induk USM

Kolam Renang USM

Peta Pelan Induk USM

Manusia zaman dahulu kala. Di Muzium USM

Dinosaur pun ada

Keadaan manusia di Malaysia pada ratusan ribu tahun lalu

Desasiswa di USM

USM tidak menggunakan sistem asrama atau kolej bagi penginapan pelajar tetapi menggunakan sistem desasiswa. Desasiswa yang ada di kampus induk ialah:

1. Tekun
2. Restu
3. Saujana
4. Aman Damai
5. Fajar Harapan
6. Bakti Permai
7. Cahaya Gemilang

3. Pengajian di tahun pertama

Pada permulaan pengajian, saya agak risau jika tidak mampu untuk meneruskan pencapaian saya di peringkat sekolah dulu. Jadi saya memilih untuk duduk dihadapan pada setiap kelas. Pengajian pada tahun pertama ini ada dua bahagian. Yang pertama ialah kuliah. Biasanya kuliah tahun pertama ni sangat ramai. Kadang-kadang sehingga melebihi 200 orang sebab kuliah fizik bukan hanya diambil oleh pelajar fizik, tapi juga diambil oleh pelajar pendidikan, matematik, dan kimia. Kuliah ini kadang-kadang dibahagi kepada beberapa kumpulan 40~60 orang. Ikut tahun. Pelajar fizik tulen ni agak ramai. Sekitar 28 orang. Kursus fizik lain ada yang tak sampai 20 orang.

Kuliah dibahagi kepada 2 atau 3 kumpulan
Dewan Kuliah. Sebaiknya, duduklah dihadapan.

Yang kedua ialah kelas tutorial. Pelajar-pelajar yang 200 orang ini akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil sekitar 15~20 orang setiap kelas. Para pensyarah akan memberikan tugasan (assignment) pada minggu-minggu tertentu dan anda perlu menghantar tugasan ini pada minggu berikutnya. Kemudian, kelas tutorial ini akan diadakan bagi membincangkan tugasan tersebut, Biasanya kelas tutorial ini diselia oleh pelajar PhD dan juga pensyarah. Sebaiknya, jangan ponteng kelas tutorial ini sebab waktu ni lah anda boleh bertanya segala yang anda kurang pasti. Tutorial ini adalah sebahagian daripada markah kerja kursus 40%. Biasanya akan ada 5/6 tutorial, setiap satunya membawa markah 4%. Waktu kuliah agak sukar sebab terlalu ramai orang. Selain itu, anda juga boleh membuat janji temu (appointment) dengan pensyarah atau penasihat akademik bagi berbincang tentang hal akademik atau hal-hal lain.

Kuliah-kuliah ni biasanya diadakah dekat Dewan Kuliah G-R dan Dewan Kuliah S-W. Tak jauh pun. Dalam 100 meter dari pusat pengajian. Sama juga dengan kelas tutorial. Kelas tutorial ni ada di tingkat atas bangunan kuliah tadi. 

Kawasan Foyer Dewan Kuliah G-R. Biasanya akan ada booth bagi program persatuan di sini setiap minggu.
DK Foyer. yang tingkap-tingkap dekat kiri dan kanan ialah bilik tutorial


Waktu tahun pertama bagi fizik tulen, biasanya pelajar akan mengambil subjek universiti iaitu kursus keusahawanan (WUS 101) dan TITAS. Kalau anda nak skor dan belajar, hadirlah ke kuliah ni. Kuliah WUS biasanya diadakan pada waktu malam (8-10 malam) manakala TITAS pula pada waktu pagi (8-10 pagi).

Kursus fizik pula ialah Fizik 101 (Mekanik), Fizik 103 (Getaran,Gelombang dan Optik), Latihan Makmal 191 dan kursus matematik iaitu Kalkulus 110. Pada tahun pertama ni, biasanya agak padat kerana anda sudah perlu ambil 3 subjek teras. Jadi sebaiknya, jangan ambil subjek bahasa atau subjek elektif lain. 

Pemandangan atas pusat pengajian sains fizik

Kuliah 101 oleh Dr Nur Zahirah

Kalau nak senang berinteraksi dengan pensyarah, duduklah di kerusi bahagian hadapan

Pusat Pengajian Sains Fizik 

Pusat Pengajian Sains Fizik (School of Physics) ni mungkin antara pusat pengajian di USM yang hebat kot. Sebabnya, di pusat pengajian sains fizik (kami panggil school) ada pusat pelajar (student center atau singkatannya SC) yang luas gila, beraircond, ada banyak sofa, meja, tempat cas fon, ada surau laki dan perempuan, tandas yang dekat, dan makmal yang dekat. TV pun ada siap dengan ASTRO NJOI, printer, komputer, bilik alpha (bilik persatuan), bilik beta (bilik study), bilik gamma (bilik untuk diskusi berkumpulan) dan pantri. Di pantri ni biasa ada makanan ringan yang pelajar fizik jual. Anda boleh berniaga makanan di sini untuk dapatkan pendapatan lebih. Jadi, kalau ada gap sejam dua antara kelas, biasanya pelajar fizik tak pulang ke asrama, tapi datang ke pusat pelajar ni. Hari isnin sampai khamis, waktu tengah hari biasanya akan penuh dengan pelajar tahun 1 dan 2 sebab ada latihan makmal lepas lunch hour. Cukup selesa. Di sinilah tempat yang sedap untuk study, rehat. Cuma kalau boleh lah, jangan bising sangat dekat sini sebab ada orang lain yang nak study dan rehat. Bagi pelajar yang nak jimat duit, kadang-kadang para pensyarah akan sumbangkan sarapan percuma. Jadi kalau ada, rajin-rajinlah datang school. Biasanya budak-budak geofizik akan kebas awal sebab depa ni ada kelas dekat school.



TV dengan Astro NJOI. Jarang pakai sebab semua main fon

Pusat Pengajian Sains Fizik atau kita panggil school ni ada segala macam kemudahan seperti Pusat Pelajar, Bilik Sumber, Bilik Seminar, Surau (dua buah), tandas setiap tingkat dan makmal-makmal yang pelbagai. Pusat Pengajian Sains Fizik ni ada 4 tingkat. Pada kebiasaannya, pelajar-pelajar akan berada di tingkat satu iaitu di pusat pelajar. Di school ni lah ada kesemua bilik pensyarah fizik. School ni juga terbahagi kepada dua iaitu bangunan pejabat dan bangunan fizik. 
Pusat Pelajar Sains Fizik. Luas sangat. Waktu ni ada program dengan pelajar sekolah.


Tengah siapkan hasil eksperimen. Jangan pakai roundneck masuk makmal!
Makanan percuma

Food4All. Sapa cepat dia kenyang

Muka-muka gembira dapat sarapan percuma di Fizik

Bilik Persidangan
Bilik pensyarah. Nanti cari bilik ni. 
Bilik beta. Di belakang yang berkaca tu bilik gamma.

Ruang untuk berdiskusi

Bilik Beta
Bilik Gamma
Makanan dijual di pantri

Hanya boleh makan di sini. Air coway pun ada

Surau Muslimah

Makmal 100/200 untuk tahun pertama dan kedua

Pintu Belakang Pusat Pelajar. Depan dia ialah pintu makmal 100 (gambar atas)

Surau untuk kaum lelaki. Sebelah pusat pelajar

Ruang Solat yang selesa. Cukup untuk 5 atau 6 jemaah satu-satu masa.


Sebelum cuti pertengahan semester (minggu ke 7 atau 8), biasanya akan diadakan peperiksaan pertengahan semester. Peperiksaan ini akan menyumbang sekitar 20% daripada markah subjek anda. Jadi ulangkajilah dengan serius bagi peperiksaan ini. Di USM, markah subjek terbahagi kepada 2, iaitu 60% peperiksaan akhir, dan 40% kerja kursus. Peperiksaan pertengahan semester adalah sebahagian kerja kursus.

Semester pertama ni agak ok bagi saya sebab subjek 101 dan 103 ni tak terlalu sukar. Saya kerap buat soalan buku teks. Manakala subjek kalkulus agak sukar sikit waktu tu. Sekarang pun sukar sehingga hampir 40% pelajar gagal subjek ni setiap tahun. Saya hanya dapat B+😓. Kalau nak lulus subjek ni, pastikan anda skor tinggi untuk kerja kursus. Jangan buat sambil lewa! Cuba untuk skor tinggi dalam kerja kursus.

Selesai semester pertama! Dah separuh jalan jadi pelajar tahun pertama. Alhamdulillah. Allah beri rezeki untuk skor GPA 3.69 pada semester pertama. Subjek kalkulus banyak tarik markah. 
CGPA-AT ialah bagi subjek teras sahaja




Masuk semester kedua, saya belajar subjek Fizik 102 (Elektrik dan Magnet), Fizik 104 (Fizik Moden), Elektronik 106, Latihan Makmal 192 dan subjek matematik iaitu Kalkulus Vektor dan Aljabar Linear 112. Subjek yang saya cukup minat ialah Fizik Moden sebab belajar tentang kerelatifan, dan sedikit sebanyak tentang fizik kuantum.

Waktu saya ni, Dr. Saiful Najmee ajar fizik 102. Beliau cukup berdedikasi dalam mengajar. Syok sembang dengan beliau. Fizik 104 pula diajar oleh Dr Yam. Sekarang (2020) diajar oleh pensyarah lain dah. Elektronik pula diajar oleh Dr. Fairuz. Walaupun subjek ni saya kurang minat, tapi disebabkan Dr. Fairuz hebat mengajar, jadi seronok pulak. Dr. Fairuz banyak gunakan software untuk simulasi litar. Aljabar Linear pula saya belajar dengan Dr. Norhaslinda. Sekarang beliau jadi Timbalan Dekan Akademik.

Dr Saiful Najmee ajar 102

Kuliah 104 pertama
Kuliah 112 yang pertama. Saya masih lagi kekal di kerusi hadapan. hehe

Bagi saya, subjek Kalkulus Vektor 112 ni lebih mudahlah berbanding Kalkulus 110. Mungkin sebab dia lebih jelas penggunaannya dalam fizik. Malah Kalkulus vektor ni banyak digunakan dalam bidang kerelatifan am (General Relativity) dan topologi. Selain itu, saya juga ambil subjek universiti iaitu Hubungan Etnik (wajib ambil) dan Bahasa Malaysia IV (wajib ambil).

Oh lagi satu, untuk semester 1 dan 2, buku teks yang digunakan ialah Physics for scientists and engineers edisi ke 10 oleh serway dan jewett bagi subjek 101,102,103 manakala buku modern physics oleh serway, moses dan meyer digunakan bagi subjek 104. Bagi subjek kalkulus 110, dan kalkulus vektor 112, buku Thomas Calculus dan Advanced Engineering oleh Kreyszig digunakan. Kedua-dua buku ini boleh didapati dalam bentuk Pdf atau dibeli di kedai buku USM. Namun harganya agak mahal (RM80++). Saya tak beli pun buku-buku ni. Pakai Pdf je. Lagipun, buku-buku ni boleh dipinjam di pusat sumber fizik. Haa, pusat sumber ni antara yang tak diketahui oleh pelajar fizik sebab kedudukannya yang tersorok iaitu pada tingkat 2 bangunan pejabat. Di sini, banyak buku fizik yang sangat menarik.

Buku-buku hebat yang ada di pusat sumber fizik. Gravitation (buku rujukan untuk GR) dan jugak sean caroll punya buku relativiti.

Black Hole War oleh Susskind. Buku tentang dia debate dia dengan Hawking.


Semester kedua ni agak seronok sikit sebab dah masuk macam-macam. Waktu ni lah kesan Dunning Kruger mula masuk. Waktu semester kedua ni, lepas belajar fizik moden, rasa macam semua benda dah tau. Semua benda nak komen ooo. 

Kesan Dunning Kruger


Semester kedua ni saya lebih aktif dalam persatuan. Macam-macam program join oo. Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), Persatuan Sains Fizik (PSF) dan macam-macam lagi. Semeter kedua ni agak busy juga. 

Dan waktu semester 2 ni, saya mula cari kerja sampingan. Alhamdulillah berjaya jadi tutor fizik sambilan di Pusat Tuisyen Fast Track. Dapat mengajar kelas tuisyen di sekolah. Pusat Tuisyen ni tak jauh sangat dari USM. Dalam 50 meter daripada masjid USM. Kelas tuisyen ni tak kacau sangat pembelajaran sebab dibuat waktu malam, dan pada hari tertentu saja. Pengalaman mengajar tuisyen ni sangat berguna sebab dalam CV nanti, akan sangat membantu.


Dapat mengajar kelas tuisyen di Sekolah Teknik Tunku Abdul Rahman
Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapat pengalaman bekerja ketika belajar, boleh lah cuba yang ini.
Team Pusat Tuisyen Fast Track. 

Alhamdulillah walaupun agak sibuk, semester kedua ni pencapaian lebih memberansangkan. Berjaya lah menaikkan CGPA. 


Alhamdulillah. CGPA naik balik.
3. Tahun dua sebagai pelajar fizik di USM

Sebelum bermulanya tahun dua, ada pemilihan bagi EXCO dan Pemimpin bagi Persatuan Sains Fizik. Waktu pemilihan tu, saya agak terkejut sebab tercalon sebagai salah seorang calon awal bagi YDP PSF. Alhamdulillah saya tak tercalon untuk jawatan tersebut. Saya rasa mungkin sebab saya jenis aktif dan rajin berinteraksi di Pusat Pengajian Sains Fizik (biasa kami panggil 'school'). Namun saya terpilih pula bagi jawatan Exco Akademik. Kena buat projek akademik pulak waktu tahun dua.

Bermulanya tahun 2, saya sudah buat pelan siap-siap bagi program akademik persatuan untuk pelajar-pelajar fizik terutamanya adik-adik tahun pertama (dah senior dah). Masa saya jadi exco akademik, saya telah perkenalkan program-program baharu macam physics coffee talk iaitu talk berkenaan fizik oleh pensyarah fizik di pusat pelajar, Physikgenie, Integration Bee dan beberapa program lagi. Alhamdulillah ni semua berkat rezeki yang Allah bagi. Macam-macam idea dapat😆. Waktu ni, cukup mudah untuk pelajar fizik kejar MyCSD sebab setiap minggu ada program di pusat pelajar. Berjela-jela MyCSD.


Program Physikgenie

Program physikgenie. Menguji ilmu fizik.


Tahun 2 ni, saya tak duduk di asrama. Ulang alik dari rumah saya di Balik Pulau, ke USM. Kalau ada rumah dekat, tak payahlah mohon asrama. Bagi peluang kepada pelajar-pelajar dari jauh untuk dapat asrama.


Program Physics Coffee Talk. Yang ni oleh Dr John

Coffee Talk oleh Dr Yoon. Ramai




Waktu tahun 2 ni lah waktu nak ambik kursus minor dan elektif. Banyak pilihan subjek dekat USM ni. Boleh rujuk di sini. Sejak awal lagi saya memang nak ambil kursus minor di USM. Alhamdulillah, saya mulakan kursus minor Astronomi pada semester ke 3. Tapi boleh saja untuk mula pada semester 4 atau 5. Cuma perlu ubah sikit jadual. 

Untuk semester 3, saya ambil subjek teras iaitu Elektronik II 206, Persamaan Pembezaan dan Analisis Kompleks 210 (Differential Equation and Complex Analysis), Termodinamik 214, Optik 215, Makmal tahun 2 dan Struktur Alam Semesta 277 (subjek minor). 

Alhamdulillah untuk semester 3, Dr. Fairuz masih mengajar subjek elektronik. Walaupun saya kurang minat, dan rasa macam tak akan gunakan untuk masa depan, tapi kaedah pengajaran Dr. Fairuz menyebabkan saya boleh minat dan mudah untuk skor. Subjek 210 pula diajar oleh Dr. Norhaslinda dan Prof Fauziah (dah pencen). Subjek termodinamik oleh Dr. Saiful Najmee, best subjek ni. Optik 215 oleh Dr. Tan Kok Choi (dah pindah) dan Struktur Alam semesta 277 oleh Dr. Azwin (Dr azwin tak lagi mengajar subjek ni, diganti oleh Dr. John Soo).

Dr. John kini mengajar subjek Struktur Alam Semesta menggantikan Dr. Azwin

Berbanding dengan kuliah tahun pertama, kuliah bagi tahun dua ni lebih selesa sebab tak terlalu ramai. Kebanyakan pelajar ialah pelajar fizik, dan sikit sahaja pelajar pendidikan yang mengambil major fizik. Biasanya kuliah tak sampai 100 orang pun.

Secara keseluruhannya, subjek 210 ni agak susah sikit, namun seronok sebab sangat digunakan dalam bidang fizik teori terutamanya dalam bidang kuantum dan kerelatifan. Subjek termodinamik ni berkaitan hukum-hukum termodinamik dan aplikasinya. Subjek Optik pula berkaitan cermin, kanta, dan macam-macam lagi. Subjek ni lebih kepada kesinambungan subjek 103 waktu tahun pertama. Belajar Fraunhofer diffraction, Fresnel diffraction (pakai dalam teleskop sinar-X), dan macam-macam lagi. Syok juga. Subjek struktur alam semesta pula belajar tentang planet, bintang, galaksi dan keseluruhan alam semesta. Subjek ni pun sangat seronok diajar oleh Dr. Azwin. Dengarnya Dr. John pun hebat mengajar subjek ni. Jadi boleh lah anda ambil subjek ni. Mudah nak skor.

Buku teks yang digunakan bagi 210 adalah yang sama dengan 112 iaitu advanced engineering oleh Kreyszig. Untuk termodinamik, tak ada buku teks tertentu pun. Saya banyak rujuk Quora atau terus bertanya dengan Dr. Saiful berkenaan subjek termodinamik. Untuk subjek optik, saya banyak merujuk buku Fundamentals of Optics oleh Jenkins dan White. Subjek elektronik, saya hanya rujuk nota Dr. Fairuz. Tak susah sangat subjek ni. Banyak praktikal saja. Untuk subjek 277 pula, saya gunakan buku Astronomy Today oleh Chaisson dan Mcmillan.

Fundamentals of Optics oleh Jenkins dan White

Astronomy Today. Buku ni sangat seronok dibaca


Bagi semester ke 3 ni, keputusan agak memberansangkan lah kecuali bagi subjek makmal. Entah macam mana boleh kecundang. Rasa macam dah buat dengan baik.


Semester ke 4 pun lebih kurang juga macam semester 3. Masih lagi menjadi pelajar tahun dua. Cuma pada cuti semester ke 3 (januari 2018), saya mula belajar sendiri subjek fizik teori seperti kerelatifan dan kalkulus tensor. Waktu saya masuk tahun pertama, saya sangkakan kedua-dua subjek ini ada diajar. Namun agak kecewa bila tahu subjek tensor dan kerelatifan tak ditawarkan. Sedangkan untuk sarjana dan PhD bidang fizik teori, sangat memerlukan pengetahuan tentang tensor. Jadi, saya mula berjinak dengan video-video tensor di YouTube

Semester ke 4 ni saya ambil satu subjek universiti iaitu Bahasa Inggeris 402, satu subjek elektif iaitu Pengkomputeran Fizik 111, satu kursus minor iaitu Pengantar Astronomi 275 dan 3 subjek teras iaitu mekanik kuantum 205, Matematik Fizik 219 (berkaitan fungsi khas dan Persamaan Terbitan Separa atau Partial Differential Equation) dan makmal tahun 2 (makmal terakhir, Yes!)

Subjek Bahasa Inggeris ni wajib ambil sebenarnya. Perlu ambil subjek English sampai level 400, dan bagi yang bermula dengan level 400, perlu ambil lagi subjek English level 45X. Subjek Bahasa Inggeris ni, kelas saya tu penuh pelajar fizik. Sebab kelas ni dibahagikan mengikut major. Subjek Pengkompueran Fizik 111 pula diajar oleh Dr. Yoon. Kami belajar tentang bahasa Mathematica. Kebanyakannya ialah menulis kod bagi menyelesaikan persamaan, dan juga untuk buat simulasi berdasarkan persamaan yang dimasukkan. Bagi tahun 2020, subjek ini akan diajar oleh Dr. Yoon dan Dr Saiful. Dr Saiful mungkin akan ajar MatLab. Subjek Pengantar Astronomi ni agak bosan bagi saya sebab pensyarah yang kurang mahir bidang ni. Teleskop pun tak tahu guna. Lol. Jadi saya selalu ponteng kelas ni untuk masuk kelas 111. Daripada 4 jam kelas Astronomi ni, 3 jam clash dengan kelas 111. Tapi kalau anda ambil subjek ni, jangan risau sebab pensyarah tersebut sudah tamat kontrak, dan digantikan oleh Dr. John Soo. Kelas 275 oleh Dr. John sangat best sebab ada sesi cerapan setiap minggu, dan Dr. John Soo sendiri sangat berpengetahuan luas dalam bidang astronomi (lulusan astrofizik NUS dan PhD kosmologi di UCL, London).

Kelas Pengantar Astronomi 275 oleh Dr. John. Sesi praktikal

Bagi subjek teras, mekanik kuantum 205 diajar oleh Dr. Mahadi Halim. Seronok beliau mengajar sebab beliau terbitkan persamaan-persamaan dalam kuantum ni daripada kosong(from scratch). Beliau juga sangat mahir dalam fizik teori. Sampai penuh 4 papan hijau oleh terbitan beliau. Subjek Kuantum 205 ni pakai buku lama, oleh Prof Fun. Tapi sekarang Dr. Mahadi tak mengajar subjek kuantum dah. Digantikan oleh Dr. Edmund Loh yang juga mahir dalam bidang kuantum (PhD Optik Kuantum dari UM, anak didik Prof Raymond Ooi). Subjek 219 pun sangat syok dan best sebab Dr. Wong Khai Ming yang ajar. Beliau ajar ni, mudah sangat faham dan sangat mengikut nota yang diberikan. Beliau juga mahir dalam bidang fizik teori (penyelia saya nanti). Secara ringkasnya, tak pakai pun buku teks tertentu untuk rujukan. Untuk tahun 2020, subjek ni diajar oleh Dr. Wan Husni Wan Mokhtar.

On the way nak habiskan terbitan bagi persamaan Schroedinger oleh Dr Mahadi.
Dr. Edmund Loh menggantikan Dr. Mahadi bagi tahun seterusnya

Waktu semester ke 4, aktiviti KoK seperti biasa. Aktiviti-aktiviti persatuan sains fizik cukup banyak. Hampir setiap minggu ada Physics coffee talk. Dan lagi satu, pada semester ni lah berlakunya pilihan raya ke 14. Harapan yang tak muncul tiba. Saya masih terus menjadi tutor di Fast Track. Alhamdulillah.

Mengajar fizik di Pusat Tuisyen

Program Physics Coffee Talk terus berjalan di pusat pelajar. Ramai yang hadir. Belakang tu ada TV nampak?

Program saya yang paling besar sewaktu menjadi Exco akademik. Menjemput Prof Ulung Datuk Harith Ahmad dari UM.
Hampir semua pensyarah fizik hadir, dan ramai pelajar juga hadir progam bersama Prof Ulung.

Waktu semester ke 4 juga, ada program besar anjuran MPP iaitu Hari Fizik. Program ni mempamerkan pameran-pameran fizik daripada pelajar fizik serta organisasi luar. Ada pertandingan robotik peringkat sekolah, dan juga jualan makanan. Cukup meriah. Lebih 100 pelajar terlibat dalam menjayakan program ni. 

Program Hari fizik-tengok matahari melalui teleskop. Yang ini di bahagian bumbung school.

Pameran hari fizik di dalam pusat pelajar.
Dinner waktu tahun 2. Tahun pertama pun ada dinner, tapi tak jumpa gambar.

Bagi semeter ke 4 ni, keputusan saya agak mengecewakan sebab subjek pengantar astronomi. Banyak drag markah walaupun saya yakin saya skor peperiksaan akhir tahun. Mungkin sebab banyak sangat ponteng kelas (nak buat macam mana, pensyarah boring teruk dan tak mahir). Tapi syukur Alhamdulillah, rezeki Allah yang bagi.

Dah lah 4 unit, dapat B- pulak. Ni semester paling teruk. Risau jugak untuk masa depan nanti.

2 tahun berlalu, kini sudah masuk ke tahun 3.

Sebelum masuk tahun tiga ni, kena cerita sikit peristiwa mesyuarat agung Persatuan Sains Fizik. Entah macam mana, MPP fizik mencalonkan nama saya sebagai YDP PSF bagi sidang 2018/2019. Dan terpilih pulak untuk jadi YDP. Syukur juga sebab nanti akan berguna untuk resume sambung belajar.

Sebagai YDP persatuan, saya cuba untuk jadikan PSF ni sebagai persatuan yang paling aktif buat aktiviti yang bermanfaat. Banyak program lama diteruskan seperti Physics Coffee Talk, dan juga program-program baru seperti lawatan ke Planetarium Negara dan Kem Astronomi. Alhamdulillah, lebih 50 program dijalankan sepanjang 1 tahun saya menjadi YDP dan saya juga dimaklumkan oleh pegawai hal ehwal pelajar bahawa PSF merupakan antara 3 persatuan paling aktif di USM (dalam 100 lebih persatuan lain). Selain jadi YDP, saya juga dilantik sebagai pemerhati di Dewan Persidangan Pelajar (DPP). Dapatlah tengok para MPP bersidang 2 kali di Dewan Persidangan Universiti. Ala-ala parlimen macam tu, cuma lebih professional dan tak ada ahli yang terlebih aktif di persidangan ni macam dekat putrajaya tu.
Majlis tertinggi dan juga exco PSF 2018/2019. Ini dekat taman botani, jauh dari USM.
Demonstrasi bantah ICERD di depan perkarangan masjid oleh para pelajar
Program Physics Coffee Talk diteruskan. (yang ni ialah Prof Roslan, sekarang Timbalan Naib Canselor)
Kem Astronomi di Balik Pulau. PSF kendali sepenuhnya. Kami dapat tajaan daripada Jabatan Mufti Pulau Pinang juga untuk gunakan pusat falak.
14 peserta dari kalangan pelajar sekolah sertai Kem astronomi

Para peserta diajar kaedah menggunakan teleskop oleh pelajar astronomi USM

Dalam dewan persidangan universiti sebagai pemerhati
Persidangan bagi semester ke dua. Sambil bersidang, sambil buat kerja.

Peserta-peserta program lawatan ke planetarium. Program anjuran PSF.

Bergambar di luar planetarium. Program ini juga mendapat tajaan daripada beberapa orang pensyarah. Jadi kos kami agak murah. Ramai dapat pergi.

Bertolak dari pagi hari, sampai ke planetarium pada waktu tengah hari.

Bagi semester 5, saya ambil subjek kokurikulum iaitu asas renang, satu kursus minor iaitu prinsip dan amalan astronomi 376, satu elektif iaitu fizik atom dan nuklear 305 dan 3 subjek teras iaitu fizik keadaan pepejal I 307, Mekanik Statistik 314 dan Projek Tahun Akhir atau FYP.

Saya ambil subjek renang sebab rasa macam boleh skor. Saya pun sudah pandai berenang sejak kecik lagi. Subjek renang ni diadakan di kolam renang USM. Tak ada teori atas kertas, semua terus mula berenang. Bagi yang perempuan terutamanya yang muslimah, jangan risau untuk ambil subjek ini sebab akan ada kumpulan khas wanita yang diajar oleh jurulatih wanita. Alhamdulillah dalam kelas renang ni, saya belajar teknik baru iaitu kuak kupu-kupu. 

Kolam Renang USM, luasnya dalam 50m x 25m. Dalamnya 1.5 meter, dan ditengah ialah 2.5 meter. 

Subjek minor astronomi 376 diajar oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Abdul Aziz. Bagi sesiapa yang familiar dengan bidang astronomi di Malaysia, pasti akan kenal beliau sebab beliau merupakan salah seorang panel pakar falak Jakim, ahli jawatankuasa falak jabatan mufti pulau pinang dan beliau banyak dirujuk oleh badan-badan kerajaan bagi aktiviti astronomi dan falak. Malah, ramai dalam kalangan anak murid beliau yang menjadi pakar falak di seluruh Malaysia. Beliau sebenarnya sudah pencen, namun masih disambung kontrak sebab belum ada yang mampu menggantikan beliau. Bagi subjek 376 ni, saya belajar tentang menggunakan bahasa Python bagi menentukan peristiwa-peristiwa astronomi. Macam-macam boleh buat dengan Python ni. Kalendar hijri pun kami ada buat.

Kena tulis kod untuk kelas ni. Nak hasilkan almanac

Kelas Dr. Abdul Halim

Subjek fizik atom dan nuklear 305 pun sangat seronok. Subjek ni diajar oleh Dr. Wong Khai Ming, dan subjek ni memang dah sebati dengan beliau. Dalam subjek ni, kami belajar tentang menjelaskan keadaan atom menggunakan persamaan schroedinger. Kami belajar cara untuk menerbitkan nombor kuantum bagi sesebuah atom, dan juga mengenai kebarangkalian orbit elektron disekitar nukleus atom. Kemudian kami juga belajar tentang model nukleus atom, daya nukleus kuat yang mengikat antara proton dan neutron, proses pelakuran di matahari, stesen nuklear dan sebagainya. Subjek ni sangat best dan menarik. Kalau anda merupakan pelajar fizik tulen, ambillah subjek ni. Syiok. Buku teks yang digunakan ialah Concept of Modern Physics oleh Beiser.


Dr Wong Khai Ming mengajar subjek Fizik Atom dan Nukleus
Kewujudan zarah-zarah berat selepas Big Bang

Subjek fizik keadaan pepejal I ni tak lah susah sangat, tapi saya kurang minat sikit walaupun subjek ni adalah sebahagian subjek fizik teori di bawah bidang fizik jirim termeluap (condensed matter physics). Subjek ni diajar oleh Prof Madya Dr. Quah Ching Kheng. Muda lagi beliau, tapi dah Prof Madya. Disebabkan ramai pelajar ada clash dengan subjek lain, akhirnya subjek ni diajar pada satu hari saja iaitu hari rabu. Kelas pagi dan malam. Subjek ni menyentuh tentang kristal, simetri, dan juga keadaan elektron/atom pada pepejal. Untuk rujukan tu, tak ada buku teks yang tertentu. Boleh rujuk di sini kalau perlu. Nota oleh Dr. Quah pun sudah mencukupi sebab beliau selalu berikan soalan daripada nota-nota beliau.

Prof Madya Dr. Quah Ching Kheng. Saya masih istiqamah duk di depan sekali

Mekanik statistik pula merupakan kesinambungan daripada subjek termodinamik pada tahun 2. Mekanik statistik ni lebih banyak teori dan matematik. Dalam subjek ni, kami fokus tentang statistik Maxwell-Boltzman, statistik Planck, statistik Fermi-Dirac dan statistik Bose-Einstein, dan aplikasi statistik-statistik ini pada sistem zarah yang berbeza (foton,fermion, boson dan zarah klasik). Subjek ni diajar oleh Prof Madya Dr. Lim Siew Choo. Best juga beliau ajar, cuma kadang-kadang terlalu detail sangat. Sekarang subjek ni diajar oleh Dr. Edmund Loh. Tiada buku rujukan tertentu sebab nota daripada Dr. Lim pun sudah cukup. 

Bagi projek tahun akhir, projek ini berlangsung selama 2 semester iaitu semester 5 dan semester 6. Projek akhir tahun ni boleh dipilih oleh pelajar bedasarkan tajuk yang ditawarkan. Boleh lihat dibawah untuk tajuk-tajuk FYP. Setiap tajuk ni akan diambil oleh dua pelajar. namun setiap seorang perlu menyediakan tesis sendiri. Oleh sebab minat yang tinggi dalam bidang fizik teori, saya memilih Dr. Wong Khai Ming sebagai penyelia dengan tajuk Non-Abelian Stress Energy Tensor of the SU(2) Magnetic Monopole. Tajuk ini berkaitan dengan Medan Fizik Kuantum dan juga teori tolok tak-Abelian (Non-Abelian Gauge Theory). Projek saya ini ialah 99% teori dan 1% perlu buat graf sikit. Oleh sebab saya dah belajar sendiri subjek tensor, maka projek ini agak ok jugak lah. Saya lebih banyak habiskan masa untuk faham tentang teori magnet ekakutub (magnetic monopole) berbanding sekadar menyelesaikan persamaan tanpa memahami persamaan tesebut.



Dr Wong bercerita tentang teori tolok daripada persamaan Maxwell

Mencari penyelesaian tenaga bagi magnet ekakutub. 

Kena belajar sendiri tentang mekanisma Higgs yang membuahkan jisim bagi magnet ekakutub


Selain akademik, dan jawatan YDP, saya nak cerita juga tentang aktiviti yang menarik di USM ni iaitu international week. Setiap semester akan ada international week, iaitu minggu bagi pelajar-pelajar antarabangsa mempamerkan budaya, pakaian dan macam-macam lagi dari negara masing-masing. Biasanya akan ada 3 hari pameran ni di Foyer DK. Segala benda ada. Dekat sinilah boleh rasa macam-macam makanan dari seluruh pelusuk dunia. Makanan pun free. Cuma bila macam-macam masuk perut, boleh berbunyi perut ni. Biasanya ada pameran dari Arab Saudi, Yaman, Palestin, Iran, Iraq, Bangladesh, India, Pakistan, Kashmir dan Jammu, USA, UK, Canada, France, Germany, China, Jepun, Indonesia, Thailand dan banyak lagi negara lain.

Mamat mana ni

Booth Palestin

Kashmiri boy

Pakaian dari benua Afrika


Alhamdulillah, untuk semester ke 5, saya dapat keputusan yang agak OK kecuali untuk asas renang. Entah kenapa tak dapat A. CGPA pun berjaya diselamatkan daripada bawah 3.75 (penting untuk biasiswa, dan permohonan sarjana). Subjek Mekanik Statistik tu target A, tapi tak da rezeki nampaknya. Subjek fizik keadaan pepejal tu memang dah agak dalam A- atau B+. Alhamdulillah rezeki Allah bagi untuk dapat A-.
Semester 5
Masuk semester ke 6, saya agak busy dengan Hari fizik, yang merupakan projek terbesar PSF bagi sidang 2018/2019. Jadi saya banyak habiskan masa di USM, berhubung dengan sekolah itu ini, dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), syarikat Penang Science Cluster dan macam-macam lagi. Mesyuarat persatuan juga agak kerap untuk pastikan semuanya berjalan lancar. Di tambah pula dengan kerja sebagai tutor fizik sambilan, bertambah sibuklah kehidupan. 
Poster Hari Fizik (FizikDUSM)

Pameran bagi mempromosi Hari Fizik (FizikDUSM) di Foyer DK
Banyak pameran yang dijalankan di dalam Pusat Pelajar

Hari Fizik (FizikDUSM) mendapat sambutan yang agak baik daripada pihak sekolah
Selain itu, disebabkan persatuan sains fizik agak aktif, kami kerap dipanggil oleh organisasi luar dan sekolah-sekolah untuk adakan aktiviti fizik dan astronomi di tempat mereka. Antara yang kami pergi ialah ke USM kejuruteraan, Sekolah Tasek Apong di Kedah, dan bermacam tempat lagi. Semuanya fully sponsored! Dapat surat pelepasan, ataupun dilaksanakan waktu cuti hujung minggu. Biasanya PSF akan memilih pelajar yang tidak perlu ponteng terlalu banyak kelas. Kami juga dapat makan free, bersiar-siar sekitar wilayah utara Malaysia. Itu yang best bila persatuan yang aktif ni.

Program Astronomi di USM Kejuruteraan

Pameran oleh Persatuan Sains Fizik. Lain kali jangan pakai selipar.

Program Pertubuhan Astronomi Pulau Pinang. Kami juga dijemput untuk pameran. Ini di dalam USM.
Ke sekolah Al-Mashoor Lelaki (Dulu saya belajar di sini)
Program STEM peringkat Kebangsaan di SK Tasek Apong

Pameran STEM di SK Tasek Apong

Pameran Fizik dan Mini Planetarium di SMK Bukit Mertajam (tak silap). Semuanya dikendalikan oleh PSF dengan bantuan Pusat Pengajian Sains Fizik.

Jemputan untuk buat pameran dan cerapan astronomi di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Beratus-ratus pelajar hadir

PSF bantu untuk buat pameran dan cerapan di Karnival STEM Peringkat Negeri Kedah.

Program STEM peringkat negeri Kedah di Sungai Petani. Musim Jerebu.

PSF terlibat secara langsung bagi menjayakan aktiviti STEM. Seronok murid-murid ni dapat masuk planetarium tu.

Bagi semester ke 6, saya mengambil satu subjek kokurikulum iaitu memanah, satu subjek minor iaitu astronomi radio 378, satu subjek elektif iaitu mekanik klasik 208, dan tiga subjek teras iaitu Elektrik dan Magnet 304, Fizik Keadaan Pepejal II 317 dan Projek Akhir Tahun (semester ke 2). 

Saya ambil memanah sebab minat dan dah pandai memanah sikit-sikit. Subjek memanah ni ditawarkan setiap semester dan diajar oleh cikgu yang sama. Dalam subjek ni, saya belajar tentang anatomi busur dan panah, kaedah memanah yang betul, kaedah nak berdiri, bernafas, nak membidik sasaran, nak pasang tali panah dan macam-macam lagi. Alhamdulillah, kelengkapan memanah di USM ni sangat baik dan dijaga dengan rapi. 

Kelas Memanah di padang belakang pusat KoK. Kawasan cukup luas

Kadang-kadang dapat pemandangan yang cantik kat sini.

Belajar cara nak letakkan busur dengan betul supaya tak rosak

Bidik sasaran dengan teknik yang betul

Astronomi radio 378 diajar oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Abdul Aziz. Bidang ni memang kepakaran beliau sebab beliau punya PhD ialah dalam bidang astronomi radio dari University of Manchester. Subjek ni banyak belajar tentang antenna radio, sumber-sumber radio dari angkasa dan bermacam-macam lagi. Kursus ni tak perlu sangat buku teks, sebab Dr. Halim dah sediakan banyak nota.



Saya mengambil subjek Mekanik Klasik kerana ia sangat penting terutamanya bagi pelajar yang berminat fizik teori. Subjek mekanik klasik ini merangkumi mekanik Lagrange dan mekanik Hamilton. Kedua-dua mekanik ini sangat perlu dan digunakan dalam bidang Kerelatifan, teori tetangsi (string theory) dan juga medan fizik kuantum (Quantum Field Theory). Pada pendapat saya, kursus ni patut dijadikan kursus teras sebab sangat penting bagi bidang fizik teori. Jika anda merupakan pelajar atau bakal pelajar fizik tulen USM, nasihat saya ialah ambil subjek ini ketika tahun dua atau tahun tiga. Subjek ni diajar oleh Dr. Saiful Najmee. Namun kadang-kadang bertukar dengan Dr. Edmund Loh atau Dr. Lim Siew Choo.

Lagrangian bagi model piawai. Wajib tahu mekanik Lagrange

Bagi subjek 304, subjek ni dikenali sebagai subjek killer ketika diajar oleh Prof Madya Dr. Lim Siew Choo. Diberitakan bahawa hampir separuh daripada pelajar gagal kursus ni. Namun, alhamdulillah, saya ambil subjek ini dengan Dr. Wong Khai Ming. Kaedah pengajaran beliau sangat mudah difahami dan jadi menarik. Beliau banyak merujuk nota yang beliau sediakan. Nota beliau pula merupakan ringkasan daripada buku Introduction to Electrodynamics oleh Griffith.


Kelas Dr. Wong. Saya hanya menumpang kelas junior. Jadi kena duduk belakang


Banyak universiti menggunakan buku ni bagi subjek EM II.

Subjek Fizik keadaan pepejal II 317 diajar oleh Prof Madya Dr. Quah. Secara keseluruhannya, subjek ini menyentuh tentang ciri-ciri bahan pepejal seperti medan elektrik dan medan magnet bagi bahan tersebut. Superkonduktor, magnet yang berkuasa tinggi dan macam-macam lagi. Pada hujung subjek ini, ada disentuh berkenaan bahan-bahan yang baru ditemui beberapa tahun lalu. Subjek ni sesuai jika anda berminat bidang fizik teori keadaan termeluap (condensed matter theory).

Dr. Quah


Bulan Puasa di USM

Lepas tu, saya nak cerita sikit pengalaman berpuasa di USM ni. Waktu zaman saya ni, puasa dalam bulan 6 pada tahun 2017 dan 2018, dan pada bulan 5 pada 2019. Pada bulan puasa, kelas masih dijalankan seperti biasa. Cuma kelas malam (jika ada) akan berkurangan. Malah program-program persatuan juga agak kurang pada waktu malam di bulan Ramadhan kerana kebanyakan pelajar menunaikan solat sunat tarawih. Di USM ni, setiap maghrib akan ada majlis berbuka puasa. Biasanya lebih 1000 pelajar dan staf akan turut serta setiap hari. Kadang-kadang sehingga mencapai 2500 orang warga USM. Banyak tu! Juadah berbuka ni disediakan percuma oleh Pusat Islam USM hasil sumbangan wang dan barangan mentah oleh orang ramai. Kalau anda nak juadah berbuka, kenalah beratur dua jam sebelum berbuka! Kalau tidak, anda akan berbuka buah kurma sambil beratur.

Beratur panjang. Kawasan Lelaki

Semua beratur untuk dapatkan juadah berbuka.

Panjang sampai ke tepi jalan. Hampir 200 meter beratur.

Boleh berbuka di ruang luar masjid. Dalam berkarpet, tak dibenarkan bawa makanan ke situ.


Beraya di USM

Ini mungkin pengalaman saya seorang kot sebab saya tinggal di Pulau Pinang. Biasanya minggu raya tu, pelajar akan pulang ke kampung beberapa hari lebih awal untuk bersama keluarga. Raya di USM ni, suasananya agak international sebab masjid dipenuhi oleh pelajar-pelajar USM dari seluruh dunia. Solat Raya juga diadakan di Masjid USM. 

Suasana raya di USM. Ramai pelajar dan staf antarabangsa

Seusai Solat dan Khutbah Raya

Masing-masing bergambar dan bersalaman

Berbalik semula kepada akademik, bagi semester ke 6, Allah rezekikan saya keputusan yang agak baik, dan CGPA saya terus meningkat. Alhamdulillah. Projek akhir tahun pun berjaya lulus viva dengan cemerlang. Alhamdulillah. Rezeki Allah anugerah.


Tahun Akhir di USM

Cepat betul 3 tahun berlalu. Tengok-tengok dah masuk tahun akhir. Tahun akhir ni ada dua semester jugak iaitu semester 7 dan semester 8. Semester 7 ini biasanya para pelajar isi dengan mengambil subjek elektif, universiti dan menghabiskan kursus minor. Semester 7 ni dah tak ada subjek teras. Jadi semester ni, kami jarang berjumpa antara satu sama lain sebab masing-masing ambil kelas yang berbeza. Bagi semester 7, saya hanya mengambil dua subjek universiti sahaja iaitu Public Speaking and Speech Writing 457 dan Teknik Berfikir. Jumlah unit saya hanya 6 unit. Kalau ikutkan peraturan, tak boleh ambil 6 unit sahaja. Perlu sekurang-kurangnya 9 unit jika tak silap saya. Namun disebabkan saya telah melengkapkan kesemua unit Teras, Elektif dan Minor, timbalan dekan akademik membenarkan saya untuk hanya mengambil 6 unit. Kalau nak dapat sijil dekan pula, perlu ambil sekurang-kurangnya 13 unit. Jadi semester 7 ni saya tak layak untuk mendapat sijil dekan walaupun skor 4 flat. Oleh sebab saya hanya ambil 2 subjek, semester 7 ni agak lengang bagi saya. Saya lebih banyak menghabiskan masa belajar subjek-subjek fizik teori peringkat sarjana seperti medan fizik kuantum, kerelatifan dan kosmologi. Malah saya hanya perlu ke USM selama 3 hari daripada 5 hari minggu.

Kelas teknik berfikir
Pada semester 7 ni juga diadakan majlis dinner terakhir bagi pelajar tahun akhir. Berkemungkinan besar kami tak jumpa lagi dah selepas dinner ni.

Majlis makan malam di kawasan bangunan BHEPA

Bertanjak sekejap

Gambar pelajar-pelajar tahun akhir. Sekejap sahaja masa berlalu.

Berbalik semula kepada akademik, alhamdulillah saya mendapat 4 flat bagi semester 7 ni. CGPA meningkat 0.01 kepada 3.80.

CGPA terakhir saya
Semester ke 8 pula ialah semester bagi pelajar tahun 4 untuk membuat latihan industri atau internship. Sebahagian pelajar tidak membuat latihan industri, dan memilih untuk mengambil subjek-subjek tambahan lain. Saya memilih untuk latihan industri dan alhamdulillah, rezeki saya ditempatkan di pusat tuisyen yang saya telah bekerja dalamnya selama 3 tahun. InsyaAllah saya akan mulakan latihan industri pada 17 Februari 2020 dan berakhir pada 21 Jun 2020. Saya bercadang pada awalnya untuk buat latihan industri sebagai pembantu penyelidik di unversiti lain, namun tak ada pensyarah yang tawarkan. Saya tak berminat kerja kilang sebab saya rasakan ia tidak membantu pelan masa depan saya untuk menjadi pensyarah fizik. Jadi saya lihat peluang ni cukup bagus untuk mengasah bakat saya mengajar dan mengkaji kaedah pengajaran dalam bidang STEM.

Dapat intern dalam bidang pendidikan STEM
Perancangan masa hadapan

Saya sememangnya bercadang untuk melanjutkan ke peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran di luar negara dalam bidang fizik teori. Dan kemudian berkhidmat di dalam negara sebagai pensyarah (kalau boleh nak jadi pensyarah USM). Jadi bermula pada semester ke 7, saya sudah mula mencari kursus-kursus fizik teori peringkat sarjana di UK. InsyaAllah saya akan tulis berkaitan permohonan ijazah sarjana dalam post yang lain. 

Terima Kasih kerana membaca. 

2 ulasan:

  1. Wowwww!!!! Teruskan mengejar impian cg 😆 terima kasih sebab byk berkongsi ilmu melalui blog dan juga YouTube

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum Izzat,

    Would you be interested to continue your study in the field of Photonics in UM?

    We are the biggest Photonics Lab and our facilities here are second to none, even in Southeast Asia I dare say. You are welcome to visit anytime.

    Do drop me an email at zarifzf@um.edu.my if you are interested.

    Regards,
    Zharif

    BalasPadam