7/01/2019

Fizik

Apa itu Fizik?

Fizik didefinisikan satu cabang sains yang mengkaji berkenaan jirim, tenaga dan interaksi antara keduanya. Namun, fizik secara umumnya melibatkan kajian berkenaan yang paling kecil seperti atom, zarah, quark dan kajian berkenaan yang paling besar seperti bintang, galaksi dan alam semesta. 

Mengapa belajar Fizik?

Fizik merangkumi sekecil-kecil zarah sehinggalah sebesar-besar alam semesta. Tujuan utama saya belajar fizik adalah kerana sifat ingin tahu. Terlalu banyak khazanah yang terkandung di dalam alam semesta ini yang masih belum dikaji. Ini akan menimbulkan pelbagai persoalan seperti 'bagaimana alam ini bermula?', 'apakah bukti teori big bang?', 'bagaimana bumi ini tercipta?' dan pelbagai lagi persoalan-persoalan yang menakjubkan akal. 

Apakah cabang bidang yang terdapat dalam Fizik?

Fizik ialah satu subjek umum. Dalamnya, terdapat banyak lagi sub-bidang lain seperti Fizik perubatan, Fizik teori, Astrofizik, Fizik kejuruteraan, Fizik zarah, Elektronik, dan Fizik Matematik. Kesemua bidang ini sangat penting dalam kemajuan manusia.

Bagaimana ingin belajar Fizik?

Subjek pertama berkenaan fizik ialah subjek sains yang dipelajari sejak di sekolah rendah. Kemudian di peringkat menengah atas, and boleh belajar asas-asas fizik dalam subjek fizik dan juga Kimia. Bidang fizik ini luas. Jika anda berkeinginan untuk terus meneroka khazanah alam, maka saya galakkan anda untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fizik di universiti.

Apakah beza antara Fizik dan Kejuruteraan?

Secara dasarnya, fizik dan kejuruteraan mempunyai asas yang sama iaitu memahami interaksi antara jirim dan tenaga. Namun, bidang fizik ini lebih ke arah sains tulen, manakala kejuruteraan pula lebih ke arah sains gunaan. 

Dari sudut pengajian di Universiti, anda akan belajar subjek yang hampir sama pada tahun pertama di Universiti. Namun pada tahun seterusnya, pelajar fizik akan mengkaji berkenaan 'bagaimana sesuatu hukum/teori itu terhasil', manakala pelajar kejuruteraan akan belajar berkenaan 'bagaimana untuk mengaplikasi hukum ini dalam kehidupan seharian'.

Oleh itu, bidang fizik ini lebih tertumpu kepada 'memahami masalah, dan mewujudkan teori untuk memahami masalah tersebut' manakala kejuruteraan ialah mengaplikasi teori yang diwujudkan dalam fizik kepada kehidupan seharian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan