12/09/2020

Ijazah Sarjana Muda Fizik di Malaysia. Berbaloikah?

 Alhamdulillah beberapa hari lepas saya telah dapat skrol ijazah sarjana muda fizik dengan kepujian. Tahun ni nampaknya tak ada konvokesyen disebabkan oleh pandemik Covid-19. 4 tahun belajar fizik, biasanya ramai pelajar yang mengharapkan ada gambar ambil skrol di atas pentas konvokesyen, namun nampaknya usaha 4 tahun kita ini tidak begitu ceria di penghujungnya. Tapi tidak mengapa, dalam setiap ujian itu pasti ada pengajarannya. 


Dalam tulisan kali ini, saya ingin mengulas sedikit berkenaan dengan ijazah sarjana muda Fizik yang saya peroleh selepas 4 tahun memerah keringat (ijazah ini perlu dibeli dengan duit dan usaha). Persoalan yang anda mungkin tertanya ialah adakah berbaloi menghabiskan 4 tahun atau lebih dalam hidup anda bagi memperoleh ijazah fizik di Malaysia? 

Bagi menjawab persoalan ini, saya akan pecahkan kepada 3 bahagian.

1. Tujuan 

2. Harapan (apa yang anda harapkan/expectation).

3. Pengiktirafan industri dan universiti antarabangsa


Tujuan

Perkara pertama yang anda perlu fikirkan sebelum membuat pilihan di UPU adalah tujuan anda sambung belajar. Cuba tanya diri anda, apakah tujuan saya sambung belajar? apakah tujuan saya mengambil bidang A dan B? 

Tujuan saya ambil ijazah ini adalah sebab saya memang minat bidang fizik sejak tingkatan 4. Ketika saya mula membaca buku-buku fizik popular seperti A Brief History of Time oleh Stephen Hawking, saya telah setkan dalam diri saya untuk menjadi ahli astrofizik. Saya juga cuba membaca makalah-makalah dalam bidang lain seperti matematik, kimia, biologi, seni. Namun hati saya tidak tergerak untuk memilih subjek-subjek ini. Anda pula bagaimana? Jika anda memang minat fizik, silakan ambil bidang ini walaupun markah fizik anda tidaklah begitu memberansangkan ketika SPM atau Matrikulasi/Asasi. 

Berkaitan keputusan peperiksaan matrikulasi/asasi sebagai petunjuk masa depan, saya kurang setuju. Anda mungkin memperoleh A dalam subjek kimia, biologi, dan B dalam matematik dan fizik. Namun jika hati anda langsung tidak minat kimia dan biologi, walaupun anda telah khatam buku teks kimia dan biologi sampai koyak, saya sarankan untuk tidak ambil bidang ini. Walaupun anda boleh skor ketika ijazah nanti, adakah anda yakin anda akan gembira dengan keputusan ini lepas 10/20 tahun lagi? 

Melainkan anda mempunyai perancangan lain. Mungkin anda ambil subjek ini sebagai satu ‘sokongan’ untuk pekerjaan. Atau anda tidak kisah untuk bekerja dalam bidang yang anda tak minati. Silakan ambil ijazah yang anda kurang minat. Saya yakin apabila kehidupan anda stabil, anda boleh ambil bidang yang anda minati melalui ijazah separuh masa atau jarak jauh. Saya ada beberapa rakan yang menceburi bidang yang mereka tidak minati, semata-mata kerana nak dapatkan pekerjaan yang lebih stabil. Kemudian mereka ambil bidang yang mereka minati secara separuh masa. Kehidupan stabil, dan mereka pun tak stress. 


Harapan/Expectation

Apakah yang anda harapkan setelah menghabiskan 4 tahun memeras otak untuk faham fizik? 

Anda mahu jadi guru fizik di sekolah? ambil bidang fizik pendidikan. Jika anda ambil ijazah sarjana muda sains fizik, anda perlu ambil diploma pendidikan (setakat yang saya cari, belum ada tawaran diploma ini bagi tahun 2020). 

Anda mahu jadi jurutera? ambil bidang kejuruteraan. Bidang fizik boleh menjadi jurutera, tetapi anda perlu bersaing dengan rakan-rakan dari kejuruteraan. Anda mungkin ada kelebihan dalam bahagian sains bahan, solar dan semikonduktor.

Anda mahu jadi doktor perubatan? ambil bidang perubatan. Bagi graduan fizik, peluang anda di hospital adalah di bahagian x-ray, MRI, CT-scan, radiografi dan yang berkaitan dengan fizik sinaran. Anda akan jadi pegawai yang bertugas nak mengoperasi mesin-mesin ini. Jika berminat, pastikan anda mengambil subjek fizik yang berkaitan perubatan dan sinaran. 

Anda mahu jadi kaya? belajar perniagaan, atau masuk politik. Agak sukar anda nak jadi kaya dengan ijazah fizik, melainkan anda juga petah berkata-kata, atau pandai berniaga.

Jadi, apa harapan anda? 

Saya mengharapkan ijazah ini membolehkan saya memahami bidang fizik teori terutamanya berkaitan graviti kuantum, teori tetangsi (string theory), teori kuantum dan perkembangan terkini berkenaan subjek ini. Adakah saya berjaya capai harapan ini? tidak sepenuhnya. Bidang-bidang ini perlu kepada pengkhususan sehingga PhD. InsyaAllah saya akan teruskan pengajian dan libatkan diri dalam akademik.

Selain dari yang saya sebutkan di atas, ada tak pekerjaan yang mengutamakan graduan fizik? Berikut saya senaraikan pekerjaan yang mengutamakan graduan fizik (yang saya tahu):

Pegawai Sains (Fizik), Pegawai Penyelidik (Fizik), Jurutera bahagian optik (gentian optik, cermin, fotonik), Jurutera bahagian semikonduktor (silikon), Jurutera solar (banyak peluang sekarang), Pegawai Astronomi (sangat terhad di Malaysia). 


Pengiktirafan Industri dan Universiti di peringkat Antarabangsa

Haa. Ini memang sensitif. 

Adakah graduan keluaran tempatan diiktiraf di industri? Jika industri tempatan, ya sudah tentu. Malah industri antarabangsa, yang mempunyai cawangan di Malaysia, memang menerima graduan tempatan. Jangan risau. Bagaimana pula di peringkat antarabangsa? Adakah Google, Facebook, Tesla, SpaceX, Intel, Apple dan syarikat-syarikat antarabangsa yang lain akan menerima anda? Jawapannya saya pun tak tahu. Belum pernah saya jumpa graduan tempatan yang bekerja di Silicon Valley (California), mahupun di New York. Malah, graduan di US sendiri bersaing dengan sengit untuk mendapat tempat di Silicon Valley. Cadangan saya, jika anda mahu bekerja di syarikat-syarikat besar ini, anda perlu mendapatkan tempat di universiti-universiti berdekatan dengan syarikat ini. Setahu saya, graduan Stanford University lebih ramai di Silicon Valley berbanding Harvard atau MIT, kerana Stanford University berada sebelah Silicon Valley, sedangkan Harvard, MIT berada sangat jauh (Boston). Jadi, pastikan anda ada perancangan untuk masa depan, atau anda boleh juga memulakan perniagaan sendiri. 

Bagaimana pula dengan pengiktirafan universiti antarabangsa? Adakah anda boleh menyambung pelajaran ke luar negara menggunakan sijil dari universiti tempatan? Jawapannya Ya! Sudah tentu! Ramai juga pensyarah di USM yang mempunyai kelayakan sarjana dan PhD di universiti antarabangsa menggunakan ijazah sarjana muda dari USM. Malah saya sendiri telah mendapat tawaran pengajian sarjana fizik teori di Imperial College London, University of Edinburgh, Durham University, Queens Mary University of London. Jika anda mahu menyambung pelajaran ke luar negara, pastikan CGPA anda 3.30 ke atas kerana CGPA 3.30 adalah bersamaan dengan kelas kedua atas di UK dan Eropah. Di US, saya kurang pasti. 


Begitulah dia serba sedikit berkaitan sarjana muda fizik di Malaysia. Ada soalan? boleh tulis di bawah. 

16 ulasan:

  1. cikgu,selalunya graduan utk course yg mcm cikgu ni ramai ke yg dpt cgpa 4.0? Boleh bg probability dia tk cg mcm satu dlm seribu ke etc hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nak dapat CGPA 4.0 tu agak mustahil. Dalam batch cikgu, tak sampai 10 orang dapat 3.67 (first class) dan ke atas. Paling tinggi pun 3.90 tak salah cikgu.

      Majoriti dalam 3.00 - 3.67 (second upper class)

      Belum pernah cikgu dengar yang dapat cgpa 4.0 untuk fizik, sebab course ni memang susah.

      Padam
  2. Cikgu, jika seseorang mengambil kejuruteraan fizik, adakah dia boleh menjadi pensyarah?

    BalasPadam
  3. Assalammualaikum cikgu , terima kasih sebab share penulisan ni .. saya pun berminat dengan course fizik .. 😊

    BalasPadam
  4. Cg kalau saya nk jadi cg fzk berapa pointer yg sepatutnye supaya layak ke uni

    BalasPadam
  5. Tuan, kos fizik dengan sains bahan sama ka atau berbeza

    BalasPadam
  6. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  7. macam mana nak jadi cikgu after degree fizik ni ye

    BalasPadam
  8. cikgu kalau saya ambil ijazah sarjana muda sains fizik kepujian, dan saya nak sambung jadi lecturer lepas tu. Jadi mcm mana nak sambung jadi lecturer tu? kena ada apa2 proses ke seblum sambung ke pemdidikan kat universisti?

    BalasPadam
  9. Cikgu, kalau saya grad dlm fizik industri nanti, macam mana saya nak minta jadi jurutera semikonduktor?

    BalasPadam
  10. Salam cg mudah tak posting sebagai guru lepas hbis ijazah fizik dgn pendidikan ni

    BalasPadam
  11. Assalam cg, berkenaan DPLI tu kenapa tidak ada tawaran langsung ya pada tahun 2020?

    BalasPadam
  12. Sy pernah bekerja di industri yg bercampur dgn jurutera luar dari Germany, US dan lain2 negara. Bagi saya org yg ambil bidang Fizik di USM ni adalah satu level ijazah yg tiada tandingan dgn kursus lain. Silabus dan kelas pemikiran jauh berbeza dgn jurutera dari bidang engineering lain

    BalasPadam
    Balasan
    1. Izinkan bertanya, maknanya, berdasarkan pengalamn Puan, graduan fizik USM kompetetif dan tidak kurang garang hebatnya lah ya?
      Betulkah kefahaman saya?

      Padam