Ahli astronomi menggunakan kekilauan
dan suhu untuk pengkelasan bintang. Ini kerana ahli astronomi mendapati bahawa
terdapat hubung kait antara kedua-dua ciri ini. Sebuah plot graf antara kekilauan
dan suhu dapat dilihat di bawah. Plot ini dikenali sebagai Rajah
Hertzprung-Russel sempena nama Ejnar Hertzprung dan Henry Norris Russel yang mengembangkan
rajah ini.
Rajah H-R
Terdapat beberapa versi rajah H-R,
ada yang melakarkan kekilauan dengan suhu dan ada yang menggantikan kekilauan
dengan magnitud mutlak. Ada juga yang menggabungkan ketiga-tiga parameter ini
dalam satu rajah.
Kekilauan dan magnitud mutlak diletakkan
pada paksi menegak manakala suhu atau kelas bintang pada paksi melintang. Kekilauan
biasanya diukur berdasarkan kekilauan matahari. Oleh itu unit bagi kekilauan
pada rajah H-R adalah dalam unit kekilauan matahari.
Pada awalnya, ahli astronomi
menyangka bahawa tidak terdapat sebarang pola atau corak tertentu pada rajah
ini. Namun setelah dimasukkan data-data dari teleskop, kita dapati bahawa terdapat
pola taburan bagi bintang-bintang di langit.
Kegunaan rajah H-R
Rajah H-R ini mempunyai pelbagai
kegunaan dalam kajian astronomi. Antaranya ialah kitaran hidup bintang, umur galaksi
atau gugusan bintang dan jarak bintang.
Bergantung kepada jisim sesebuah
bintang, ia akan melalui kitaran hidup yang berbeza pada rajah H-R. Kitaran
hidup ini bergantung pada struktur dalaman bintang tersebut. Oleh itu,
kedudukan sesebuah bintang pada rajah H-R dapat memberi maklumat penting
terhadap struktur dalaman bintang tersebut.
Jejak Hayashi Credit: Penn State Astronomy & Astrophysics |
Disebabkan rajah H-R memberi maklumat tentang kitaran hidup bintang, dengan melihat taburan bintang dalam sesebuah galaksi pada rajah H-R, kita dapat menentukan purata umur galaksi tersebut. Galaksi yang mengandungi taburan bintang yang banyak pada bintang O dan A ialah galaksi yang muda. Manakala galaksi yang mengandungi banyak bintang raksasa ialah galaksi yang sudah tua.
Rajah H-R kelompok globul M55 Sumber: http://apod.gsfc.nasa.gov/apod/ap010223.html |
Salah satu kaedah penentuan jarak
bintang ialah menggunakan paralaks spektroskopik. Kaedah ini melihat kepada
magnitud ketara dan suhu sesebuah bintang menggunakan fotometer dan
spektroskop. Dengan menggunakan maklumat suhu dan melihat pada kedudukan bintang
tersebut pada rajah H-R, kita dapat tentukan magnitud mutlaknya. Jarak bintang
tersebut dapat ditentukan menggunakan modulus jarak. Kaedah paralaks spektroskopik dapat digunakan secara tepat bagi menentukan jarak bintang dalam lingkungan 10 000 parsek dari bumi.
Kesimpulannya, rajah H-R ini sangat
berguna bagi kajian-kajian berkenaan bintang dan galaksi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan