1/29/2019

Cahaya

Cahaya

Apabila kita mendongak ke langit malam, kita melihat kerdipan-kerdipan cahaya bintang. Ada bintang berwarna putih, ada yang berwarna biru dan ada yang berwarna merah. Mengapakah cahaya mempunyai pelbagai warna? Berapa warnakah yang dapat kita lihat? Adakah wujud warna-warna lain yang tidak dapat kita lihat?

Cahaya merupakan sebahagian daripada gelombang elektromagnet. Gelombang elektromagnet adalah satu gelombang yang bergerak dalam medan elektromagnet. Setiap warna yang kita lihat, mempunyai panjang gelombang yang berbeza. Namun tahukah anda, gelombang-gelombang yang kita lihat ini mempunyai panjang yang sangat kecil?



Gelombang yang dapat kita lihat mempunyai panjang sekitar 400 nanometer ke 700 nanometer! Berapakah panjang 400 nanometer ini? Bayangkan anda mengambil satu pembaris berukuran 1 meter. Kemudian anda memotongnya kepada 10 juta bahagian. Satu bahagian tersebut mempunyai panjang sekitar 400 nanometer.
Anda mungkin pernah mendengar radio di dalam kereta anda. Namun pernahkah anda terfikir bagaimana radio ini berfungsi?

Radio yang kita gunakan juga merupakan sebahagian daripada gelombang elektromagnet. Namun ia mempunyai panjang gelombang sekitar 1 milimeter sehingga ratusan meter. Jika anda sedar, radio yang kita gunakan mempunyai antena. Antena ini berfungsi untuk ‘menangkap’ gelombang radio daripada stesen-stesen radio. Oleh itu radio ini sebenarnya berfungsi sebagai teleskop, yang melihat gelombang radio. Kereta anda juga merupakan sejenis teleskop!

Selain daripada cahaya dan radio, gelombang elektromagnet juga terdiri daripada Sinar gama, sinar-X, ultraungu, inframerah dan gelombang mikro. Setiap bahagian ini mempunyai panjang gelombang yang berbeza. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan