1/28/2019

Ahli-ahli Astronomi Malaysia

Ahli-ahli Astronomi Malaysia

Sejak berjinak-jinak dengan bidang astronomi sejak 2005, saya sudah kenali ramai penggiat astronomi amatur dan profesional yang hebat-hebat belaka. Saya mula mengenali ahli astronomi amatur dahulu melalui aktiviti-aktiviti astronomi di Pulau Pinang. Boleh dikatakan agak ramai ahli astronomi amatur di Malaysia. 
Bagi penggiat astronomi profesional pula, saya mengenali mereka sejak menyambung pelajaran dalam bidang fizik dan astronomi di USM. Bilangan mereka tidak ramai, namun sumbangan mereka sudah pasti sangat besar.

Senarai ini adalah dari kalangan mereka yang pernah saya jumpa. Namun pengembaraan saya tidaklah jauh. Ramai lagi ahli astronomi hebat yang saya ingin berjumpa. 

Ahli astronomi Amatur

Ahli astronomi amatur adalah mereka yang terlibat dalam astronomi sebagai hobi. Mereka inilah yang banyak menyumbang kepada akar umbi astronomi di Malaysia. Ada dalam kalangan mereka yang aktif dalam bidang penyelidikan astronomi secara sukarela. Semuanya hebat-hebat belaka.


Dr. Chong Hon Yew

Dr Chong Hon Yew sangat aktif di Pulau Pinang. Beliau merupakan bekas profesor madya di Pusat Pengajian Sains Fizik dalam bidang astronomi dan fizik keadaan pepejal. Beliau merupakan antara tonggak yang menggerakkan astronomi di USM dan Pulau Pinang. Beliau mengasaskan Kelab Astronomi USM pada tahun 1986 dan Pertubuhan Astronomi Pulau Pinang (ASP) pada tahun 2016. Antara usaha beliau ialah penubuhan balai cerap di sekolah-sekolah sekitar Pulau Pinang, aktiviti astronomi seperti Amateur Telescope Making (ATM) dan Roket Air, ceramah Astronomi dan penubuhan balai cerap PIXO di Komtar. Banyak lagi usaha beliau yang tak muat di kongsi di ruangan kecil ini. 


Ustaz Anuar Ariffin

Saya mengenali Ustaz Anuar sejak dari sekolah menengah di SMKA(L) Al-Mashoor. Beliau ketika itu merupakan pegawai falak di Jabatan Mufti Pulau Pinang. Saya kerap berjumpa beliau di Pusat Falak Sheikh Tahir ketika cerapan anak bulan. Kini beliau aktif di Masjid Abdullah Fahim Kepala Batas. Kepakaran beliau ialah dalam instrumen Rubu' Mujayyab. Kalau ada program falak di bahagian Kepala Batas, beliau pasti ada. 



Amirul Hazim Kamarulzaman

Sahabat saya yang saya kenal melalui internet. Saya pun sudah lupa bagaimana boleh kenal beliau. Amirul Hazim mempunyai minat dalam bidang astrofotografi yang sangat tinggi. Beliau kembara ke balai-balai cerap Pulau Pinang untuk mengambil gambar menggunakan kamera CCD beliau yang dibawa bersama. Koleksi-koleksi astrofoto beliau juga hebat. Ketika di KMPP, rezeki beliau mencurah-curah kerana KMPP mempunyai balai cerap tersendiri. Jika bumbung balai cerap itu terbuka, pasti beliau di dalamnya. Tidak cukup sekadar minat dalam astronomi, beliau menyambung pelajaran dalam bidang fizik gunaan di USIM untuk menambah lagi kehebatan beliau dalam bidang ini. Saya kenali beliau sebagai seorang yang sangat merendah diri. 

Lim Choon Kiat

Lim Choon Kiat merupakan antara produk 5 bintang Dr Chong. Beliau mempunyai balai cerap tersendiri di Pulau Betong, Balik Pulau. Beliau sangat hebat dalam bidang astrofotografi. Beliau sangat teliti dalam pemilihan gambar yang diterbitkan di media. Antara karya terhebat beliau adalah pengimejan bulan resolusi tinggi menggunakan teleskop di PIXO, Komtar. Karya beliau ini sangat mengagumkan sehingga mendapat perhatian dari kerajaan pihak negeri. Lim Choon Kiat juga merupakan pemilik Perseid Telescope yang terletak di Kompleks Bukit Jambul. Satu-satunya pengedar teleskop di Pulau Pinang. Jika anda mahu belajar astrofotografi, beliau antara guru yang hebat. 


Puan Halimah binti Khalil

Seorang wanita yang hebat dalam bidang astronomi. Puan Halimah bekerja sebagai pensyarah Fizik di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP). Antara usaha beliau ialah membangunkan balai cerap di KMPP yang mempunyai teleskop biasan 8 inci. Beliau juga gemar menyimpan intrumen-instrumen astronomi di era kegemilangan islam. Kalau anda lihat kostum angkasawan pada pameran astronomi di kawasan pulau pinang, saya pasti itu milik beliau.

Dr. Nur Azwin binti Ismail

Dr. Azwin merupakan pensyarah bidang geofizik di Pusat Pengajian Sains Fizik USM. Beliau sangat aktif dalam bidang astronomi dan falak di zon utara Malaysia. Beliau dilantik sebagai penasihat Kelab Astronomi USM sejak tahun 2015 dan Pengerusi Unit Falak USM. Saya banyak menimba ilmu astronomi dengan beliau, terutamanya melalui kursus minor Astronomi di USM. Beliau mengajar subjek Struktur Alam Semesta. Bukan sahaja mempunyai ilmu astronomi yang tinggi, beliau juga hebat dalam mengajar ilmu astronomi kepada pelajar-pelajar minor Astronomi di kelas beliau. Persis Profesor Walter Lewin. 

Ramai lagi ahli-ahli astronomi amatur yang tidak cukup tangan untuk saya tulis di sini. Tanpa mereka, astronomi pasti sudah terkubur. 

Ahli Astronomi Profesional

Ahli astronomi profesional ialah mereka yang aktif dalam kajian saintifik bidang astronomi. Mereka terlibat secara langsung dalam bidang akademik di universiti-universiti tempatan. Kesemua ahli astronomi profesional yang saya kenali, juga terlibat dalam aktiviti-aktiviti astronomi bersama masyarakat awam. 

Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdul Aziz

Saya memanggil beliau dengan nama Dr. Halim. Beliau merupakan pensyarah astronomi radio di Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF) USM. Ramai dari kalangan ahli-ahli falak di Malaysia merupakan pelajar seliaan beliau. Antara sumbangan beliau ialah dalam bidang astronomi radio, kenampakan anak bulan, almanak astronomi dan spektroskopi bintang. Jasa beliau sangatlah besar, sehingga USM menyambung kontrak beliau beberapa kali selepas beliau bersara. Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kenampakan Anak Bulan Jabatan Mufti Pulau Pinang. Dr Halim kerap dijemput bagi menyampaikan ceramah astronomi di zon Utara.Banyak ilmu yang saya dapat belajar dengan beliau. 


Profesor Madya Dr. Zamri bin Zainal Abidin

Dr Zamri merupakan pesyarah astronomi radio di Universiti Malaya. Beliau merupakan antara pengasas makmal radio angkasa di UM. Antara kajian beliau ialah mengenai jirim gelap dan astronomi radio. Saya hanya bertemu beliau sekali sahaja ketika saya melawat Fakulti Sains di UM. Namun, first impression beliau sangatlah hebat. Beliau memperkenalkan saya dengan kajian-kajian astronomi radio di UM dan memberikan nasihat-nasihat untuk membawa Malaysia ke persada antarabangsa dalam bidang astronomi. 

Dr. John Soo Yue Han

Dr. John Soo merupakan pensyarah astrofizik di Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF). Beliau merupakan lepasan Universiti College London dalam bidang astrofizik kosmologi. Sejak saya mendapat khabar berita kehadiran pensyarah astronomi baru di (PPSF), terus saya stalk beliau di media sosial. Beliau merupakan ahli astrofizik crème de la crème. Tesis beliau berkaitan graviti kilasan (torsion graviti) sangat menakjubkan. Saya yakin beliau akan setanding dengan ahli-ahli astronomi profesional antarabangsa. 

Muhamad Akram Zaki bin Roslan

Satu sosok hebat dalam bidang astronomi solar. Beliau menggunakan data-data daripada SOHO bagi tesis Master beliau yang diselia oleh Dr. Halim. Saya mengenali beliau daripada kelas-kelas fizik di USM. Beliau kerap meluangkan masa lapang dengan menghadiri kuliah fizik teori. Kini beliau terlibat dengan kajian-kajian terbaru di Pusat Pengajian Sains Fizik. Beliau akan menyambung pengajian PhD tidak lama lagi. 



Daim Harizan

Seorang insan yang kehulu kehilir membantu aktiviti Astronomi di Pulau Pinang bersama Dr. Chong. Beliau sangat aktif dengan aktiviti-aktiviti astronomi di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Beliau kini sedang menyiapkan tesis Master beliau dalam bidang Astrofizik. 

Senarai ini belum cukup untuk merangkumi semua ahli astronomi profesional di Malaysia. Ramai lagi yang saya kenali nama dan sumbangan mereka, namun masih belum dapat bertemu. Antaranya ialah Dr. Adlyka dari UKM, Prof Hasan Abu Kasim dari UM, Dr Norhasliza Yusof, Kak Farrah Zainol dari Uni of Birmingham dan Sir Wan Aimran dari UKM. Saya amat harap dapat menuntut ilmu dengan mereka. 

1 ulasan:

  1. Tumpang tanya, saya lepasan spm and ingin sambung pengajian in astronomi...awak rasa uni. mana yg sesuai and mcm mana pathway yg perlu diambil?thank u

    BalasPadam