2/08/2019

Rajah Hertzprung-Russel


Ahli astronomi menggunakan kekilauan dan suhu untuk pengkelasan bintang. Ini kerana ahli astronomi mendapati bahawa terdapat hubung kait antara kedua-dua ciri ini. Sebuah plot graf antara kekilauan dan suhu dapat dilihat di bawah. Plot ini dikenali sebagai Rajah Hertzprung-Russel sempena nama Ejnar Hertzprung dan Henry Norris Russel yang mengembangkan rajah ini.

Rajah H-R

Terdapat beberapa versi rajah H-R, ada yang melakarkan kekilauan dengan suhu dan ada yang menggantikan kekilauan dengan magnitud mutlak. Ada juga yang menggabungkan ketiga-tiga parameter ini dalam satu rajah.

Kekilauan dan magnitud mutlak diletakkan pada paksi menegak manakala suhu atau kelas bintang pada paksi melintang. Kekilauan biasanya diukur berdasarkan kekilauan matahari. Oleh itu unit bagi kekilauan pada rajah H-R adalah dalam unit kekilauan matahari.

Pada awalnya, ahli astronomi menyangka bahawa tidak terdapat sebarang pola atau corak tertentu pada rajah ini. Namun setelah dimasukkan data-data dari teleskop, kita dapati bahawa terdapat pola taburan bagi bintang-bintang di langit.

Kegunaan rajah H-R


Rajah H-R ini mempunyai pelbagai kegunaan dalam kajian astronomi. Antaranya ialah kitaran hidup bintang, umur galaksi atau gugusan bintang dan jarak bintang.

Bergantung kepada jisim sesebuah bintang, ia akan melalui kitaran hidup yang berbeza pada rajah H-R. Kitaran hidup ini bergantung pada struktur dalaman bintang tersebut. Oleh itu, kedudukan sesebuah bintang pada rajah H-R dapat memberi maklumat penting terhadap struktur dalaman bintang tersebut.

Jejak Hayashi
Credit: Penn State Astronomy & Astrophysics


Disebabkan rajah H-R memberi maklumat tentang kitaran hidup bintang, dengan melihat taburan bintang dalam sesebuah galaksi pada rajah H-R, kita dapat menentukan purata umur galaksi tersebut. Galaksi yang mengandungi taburan bintang yang banyak pada bintang O dan A ialah galaksi yang muda. Manakala galaksi yang mengandungi banyak bintang raksasa ialah galaksi yang sudah tua.

Rajah H-R kelompok globul M55
Sumber: http://apod.gsfc.nasa.gov/apod/ap010223.html

Salah satu kaedah penentuan jarak bintang ialah menggunakan paralaks spektroskopik. Kaedah ini melihat kepada magnitud ketara dan suhu sesebuah bintang menggunakan fotometer dan spektroskop. Dengan menggunakan maklumat suhu dan melihat pada kedudukan bintang tersebut pada rajah H-R, kita dapat tentukan magnitud mutlaknya. Jarak bintang tersebut dapat ditentukan menggunakan modulus jarak. Kaedah paralaks spektroskopik dapat digunakan secara tepat bagi menentukan jarak bintang dalam lingkungan 10 000 parsek dari bumi.

Kesimpulannya, rajah H-R ini sangat berguna bagi kajian-kajian berkenaan bintang dan galaksi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan