Tidak semua bintang di langit
berada pada jarak yang sama dari kita. Ada bintang yang sejauh ribuan tahun
cahaya. Ada yang hanya 4 tahun cahaya seperti bintang Alpha Centauri. Namun
bagaimana kita dapat mengukur jarak ke sesebuah bintang?
Terdapat pelbagai cara untuk
mengukur jarak ke sesebuah bintang. Cara yang paling tepat adalah menggunakan
kaedah paralaks. Paralaks adalah perubahan kedudukan sesuatu objek apabila kita
melihatnya dari tempat yang berbeza. Sebagai contoh, anda depakan tangan anda
dan lihat pada jari telunjuk anda. Tutup mata kanan, kemudian tutup mata kiri
anda. Anda akan dapati bahawa jari telunjuk anda bergerak ke kiri dan kanan berbanding
dengan objek yang jauh dari anda.
Jari kelihatan bergerak apabila kita menukar arah penglihatan |
Kesan ini dapat digunakan untuk
mengukur jarak ke bintang yang berhampiran dengan kita. Apabila Bumi mengorbit
matahari, bintang-bintang berdekatan kelihatan bergerak berbanding dengan
bintang-bintang yang jauh. Untuk mendapatkan pergerakan yang besar, ahli
astronomi merekodkan kedudukan bintang pada selang masa 6 bulan. Perubahan
kedudukan bintang ini dinamakan paralaks bintang.
Dengan menggunakan asas
trigonometri, kita boleh mengira jarak sesebuah bintang dengan hanya
mendapatkan sudut paralaksnya. Jika sudut paralaks sesebuah bintang ialah p,
maka jaraknya ialah d = 1/p di mana d ialah dalam unit parsec (pc) dan p dalam
unit saat arka. Satu saat arka ialah 1/3600 darjah.
Sudut paralaks |
Walaupun kaedah ini merupakan
kaedah paling tepat untuk mengukur jarak bintang, ia mempunyai kelemahan tersendiri.
Kaedah ini hanya dapat mengukur jarak bintang-bintang yang berada dalam
lingkungan 1000 parsec. Sedangkan Bima Sakti mempunyai saiz 30 ribu parsec.
Oleh itu, ahli astronomi menggunakan kaedah lain untuk mengukur jarak
bintang-bintang yang lebih jauh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan