10/18/2017

Momentum dan perlanggaran

Apakah yang dimaksudkan sebagai momentum 

Momentum difahami secara umum sebagai suatu pergerakan berdasarkan jisim objek. Jika suatu objek itu bergerak pantas dan mempunyai jisim yang tinggi, kita akan menganggapnya sebagai mempunyai momentum yang tinggi. Namun jika objek tersebut bergerak perlahan, atau mempunyai jisim yang kecil, kita menganggapnya sebagai mempunyai momentum yang rendah. 

Dalam fizik, momentum didefinisikan sebagai hasil darab jisim dan halaju. Momentum diberikan huruf p (kerana huruf m digunakan untuk jisim). p=mv 

Perlanggaran 

Perbincangan berkaitan momentum tidak akan lengkap tanpa melibatkan perlanggaran. Perlanggaran seperti yang kita fahami, adalah apabila dua objek atau lebih bertembung antara satu sama lain. Perlanggaran dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian. Antaranya ialah perlanggaran linear dan perlanggaran tidak linear. 

Perlanggaran linear 

Dalam Fizik SPM, hanya perlanggaran linear yang dibincangkan. Perlanggaran linear ialah perlanggaran yang melibatkan 1 dimensi sahaja ataupun 1-D. Objek yang berlanggar hanya akan bergerak dalam satu garisan lurus. 

Perlanggaran Linear: Dua objek yang berlanggar dalam satu garisan lurus 
Perlanggaran Linear ini pula terbahagi kepada tiga, iaitu perlanggaran kenyal, perlanggaran tak kenyal dan letupan. 

Perlanggaran Kenyal 

Perlanggaran kenyal berlaku apabila dua objek yang berlanggar, bergerak pada halaju berbeza selepas perlanggaran. Objek ini akan tidak bercantum selepas perlanggaran. Perkara yang berlaku dalam perlanggaran kenyal adalah 
  1. Objek-objek yang berlanggar bergerak pada halaju berbeza 
  2. Objek-objek ini tidak bercantum selepas perlanggaran 
  3. Jumlah momentum diabadikan 
  4. Jumlah tenaga kinetik diabadikan 
Perlanggaran kenyal dapat dirumuskan dalam sebuah persamaan seperti berikut: 

m1u1 + m2u2 = m1v1 + m2v2

Perlanggaran tak kenyal 

Perlanggaran tak kenyal berlaku apabila dua objek yang berlanggar, bercantum selepas perlanggaran. Perkara yang berlaku dalam perlanggaran tak kenyal adalah: 
  1. Objek-objek yang berlanggar bergerak bersama-sama selepas perlanggaran
  2. Objek-objek ini bercantum selepas perlanggaran 
  3. Jumlah momentum diabadikan
  4. Jumlah tenaga kinetik tidak diabadikan

Contoh perlanggaran tak kenyal adalah perlanggaran antara kereta api dengan kenderaan lain di atas landasan kereta api. 

Perlanggaran tak kenyal dapat dirumuskan seperti berikut: 



m1u1 + m2u2 = (m1+m2)v

Letupan 

Letupan berlaku apabila satu objek meletup dan berpisah kepada beberapa bahagian. Objek-objek yang berpisah ini bergerak pada halaju yang bertentangan arah. 

Perkara yang berlaku dalam letupan adalah: 

  1. Objek-objek yang terpisah bergerak pada halaju yang bertentangan arah 
  2. Jumlah momentum diabadikan
  3. Jumlah tenaga kinetik tidak diabadikan 
Letupan dapat dirumuskan seperti berikut: 

0 = m1v1 + m2v2

Tiada ulasan:

Catat Ulasan