3/01/2019

Kelas Bintang


Bintang dikategorikan berdasarkan beberapa faktor. Antaranya ialah suhu permukaan dan kekilauan.

Suhu permukaan bintang diukur berdasarkan warna bintang tersebut. Warna sesebuah bintang dapat diperoleh menggunakan kaedah spektroskopi. Kaedah ini menggunakan spektroskop bagi mendapatkan spektrum sesebuah bintang. Dengan melihat pada garis spektrum bintang tersebut, dan menggunakan hukum Wien, suhu bintang dapat dihitung. Berdasarkan hukum Wien, bintang biru mempunyai suhu paling tinggi iaitu sekitar 30 ribu darjah Celcius, manakala bintang merah mempunyai suhu paling rendah iaitu sekitar 3 ribu darjah Celcius.

Sumber: https://bit.ly/2TDsqAC

Pengkelasan ini dibahagi kepada tujuh bermula dari yang paling panas iaitu O, B, A, F, G, K, M. Pengelasan ini dibahagikan lagi kepada bahagian-bahagian kecil menggunakan nombor. Sebagai contoh, bintang O1 merupakan bintang terpanas, manakala bintang M9 ialah bintang sejuk. Matahari dikategorikan sebagai bintang G2 dengan suhu sekitar 5 ribu darjah Celcius. Hampir 75% bintang di galaksi kita merupakan bintang jenis M. Manakala bintang-bintang berat seperti O dan B agak jarang dijumpai.

Bintang juga dikelaskan mengikut kekilauan. Kekilauan ialah jumlah tenaga yang tersinar oleh bintang dalam masa sesaat. Pengelasan ini penting kerana terdapat bintang-bintang yang mempunyai suhu yang sama, namun saiz, dan umurnya berbeza. Kecerahan ini mengikut turutan berikut:

I - Super Raksasa
II - Raksasa Cerah
III - Raksasa
IV - Sub Raksasa
V - Kerdil (jujukan utama)
VI - Sub Kerdil
D - Kerdil Putih.

Super Raksasa ialah bintang yang paling besar diketahui. Kategori super raksasa terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Ia-0, Ia dan Ib. Kelas Ia-0 ialah hyper raksasa. Bintang dalam kelas ini merupakan bintang yang mempunyai kekilauan paling tinggi pernah direkodkan, dan juga mengeluarkan angin najam paling banyak. Seterusnya ialah kelas Ia untuk super raksasa cerah dan Ib untuk super raksasa kurang cerah. Bintang dalam kelas I ini dipercayai akan membentuk lohong hitam di penghujung hayatnya.

Sumber: https://bit.ly/2GvDH2b


Bintang kelas II dan III ialah bintang raksasa. Bintang kelas ini berada pada fasa-fasa kematiannya. Biasanya bintang raksasa terdiri daripada dua jenis iaitu bintang raksasa merah dan bintang raksasa biru. Bintang raksasa merah mempunyai suhu yang agak rendah berbanding matahari. Manakala bintang raksasa biru pula sangat panas sehingga berlaku proses pelakuran helium di dalamnya. Bintang sub raksasa lebih malap berbanding bintang raksasa. Bintang kelas ini sedang menghadapi pengakhiran kehidupannya.

Seterusnya adalah bintang kerdil. Bintang kerdil kelas V dikenali sebagai bintang jujukan utama. Bintang dalam kelas ini menghabiskan kehidupan dengan membakar hidrogen kepada helium dalam proses pelakuran nukleus. Matahari berada dalam kategori ini dan kelasnya ialah G2V. G2 merujuk kepada suhu manakala V merujuk kepada kekilauan. Bintang sub kerdil pada kelas VI adalah lebih malap berbanding bintang jujukan utama.

Credit: ESA/Hubble


Kelas yang terakhir ialah bintang kerdil putih. Bintang ini merupakan mayat-mayat bintang selain daripada bintang neutron dan lohong hitam. Bintang ini sangat panas, namun disebabkan saiznya yang kecil, kekilauannya sangat rendah dan sukar dikesan. Antara bintang kerdil putih yang terkenal ialah Sirius B. Bintang ini dikesan mengorbit pasangannya iaitu Sirius A, bintang paling cerah di langit malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan